BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Pages

Followers

Popular Posts

16 December 2010

Cerita Rahsia (Bahagian 1)

Bismillahirahmanirahim.

Jika ini cerita rahsia, maka kini ianya bukan rahsia lagi.

Cerita ini cerita sembunyi-sembunyi. Diceritakan dengan berbisik-bisik agar tidak diketahui yang lain. Ini cerita rahsia. Yang tidak pernah aku ceritakan. Yang pernah mendengar mungkin hujan dan awan yang kebetulan menjadi peneman. Makhluk Tuhan terutamanya manusia tidak pernah mengetahui cerita ini. Ini cerita pelik, misteri dan penuh rahsia.

Setelah berpuluh tahun, cerita ini disimpan kemas dalam balutan hati, diperam dalam jiwa. Cuma diketahui akal sekali-sekala. Itu ketika jiwa sudah tidak betah menahan lalu meminta bantuan akal mencari tempat terbaik bercerita rahsia. Setelah bertenang, meminta jiwa dan akal senyap seketika, keputusan paling mengejut diambil. Aku akan menceritakan rahsia yang selama ini degil kusimpan kepada semua. Muktamad.

Kalau ditanya sebabnya, tiada sebab yang dapat dinyatakan. Mungkin tidak dapat lagi ditahan, maka rahsia ini perlu segera dilontar. Biar diketahui semua. Tidak mengapa. Asal saja jiwa tidak merana dan aku sendiri tidak mahu mati bersama rahsia. Bertahun lama aku tekal memegang rahsia tetapi hari ini segalanya seolah-olah hilang saktinya.

Pernah dahulu aku hampir membongkarnya. Hanya kerana air mata. Aku memang kalah dengan air mata. Sukar benar menahan rasa apabila diberi tangisan. Mujurlah, ketika itu belum masanya diberi Tuhan. Aku gagal menceritakannya. Lalu, aku segera mengajar diri agar jangan mudah terpedaya dengan air mata. Kelak, rahsia ini akan kubongkar dek air mata yang setitis dua cuma.

Sampai di sini dahulu warkah rahsia. Akan kuceritakan seterusnya di warkah mendatang.

Wassalammualaikum.

10 December 2010

Carikan Aku Dia

Carikan aku dia

yang ketawa apabila gembira

yang menangis tatkala berduka

yang memegang jika rebah


Carikan aku dia

yang pintanya cuma doa

yang kudratnya sekadar semangat

yang jalannya menunduk

tapi basah keringat


Carikan aku dia

dimana-mana kau jumpa dia

dimana-mana kau lihat dia

cari benar-benar

kerana dia sukar dilihat

jika dengan sekali pandang

07 December 2010

Pantun Awal Muharram

Burung enggang terbang merendah

Mencari teduh di tengah padang

Hijrah pertama jadi sejarah

Umat Islam mulia berkembang


Bunga kenanga kelopak bergulung

Cantik ditanam di halaman rumah

Nabi Muhammad pemimpin terulung

Tiada Baginda berpecah ummah


Kalau rebah si pohon meranti

Jatuh ke tanah jangan tertimpa

Kalau Islam teguh berdiri

Malu kafir terdiam bicara


Serindit pulang bersama-sama

Pulang ke sarang di pohon sena

Buang segala dosa dan noda

Gantikan dengan amal berganda


Mendayung sampan hingga ke kuala

Jangan lewat bila pulangnya

Allah dan Rasul ketuanan utama

Moga hijrah lebih bermakna


*Salam Maal Hijrah 1432H

03 December 2010

Sakit Apabila Terjatuh

Bismillahirahmanirahim...

Saya, anda dan semua daripada kita pasti pernah terjatuh. Sakit bukan? Kadang terluka, robek di mana-mana. Malah kadang-kadang parut akibat terjatuh masih kelihatan sehingga dewasa. Lalu, peristiwa terjatuh selalu ingin dilupai kerana manusia senang apabila mengingati perkara-perkara yang manis sahaja.

Pengajaran apa yang kita perolehi? Sekadar luka kelihatan, diubati lalu sembuh. Sedang Allah memberi pengajaran yang besar. Supaya kita lebih berhati-hati pada masa depan. Apabila kita semakin dewasa, jatuh bangun dalam hidup tidak pula kita tekuni dengan sebaiknya.

Kegagalan memberikan kepedihan, keperitan, rasa kesedihan yang kadang-kadang terlalu melampau. Jika tidak, tentu sahaja tidak ada langsung kes bunuh diri akibat kecewa. Tidak salah menangis, mengadu, meluahkan perasaan tetapi di manakah tempat terbaik meluahkan rasa?

Kita yang mengaku Islam. Membesar dalam iman dan didikan dakwah seharusnya lebih sedar, lebih tekal dan tabah menghadapi dugaan hidup agar kita lebih bersabar.

Lihat Firman Allah :

"Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar"..(Al-Baqarah: 155)

Sedikit petikan kata-kata yang dihantar sahabat. Mudah-mudahan menjadi pendorong hati dan jiwa :

Melangkah itu mudah, namun mencari arah itu terkadang payah. Mencari jalan itu mudah, namun memahami destinasi itu yang susah. Menyusuri jalan itu mudah, namun menuju noktah itu pasti mendatangkan lelah. Dalam semua ini, menjaga istiqamah itu paling susah, payah dan lelah. Namun, Dia tidak meminta manusia menjadi yang terbaik. Hanya perlu untuk melakukan yang terbaik, meletakkan sandaran dan keyakinan penuh kepadaNya. Lantas, nescaya Dia akan menguruskan yang selebihnya agar yang terbaik itu menjadi milik manusia.

Lalu, bersabarlah dan terus mengadu kepadaNya. Berusaha memperbaiki diri dan meneruskan perjuangan kehidupan ini.

Wallahualam..

30 November 2010

15 Perkara

Hadis Nabi mengingatkan ada lima belas perkara yang harus dicegah supaya tidak mendapat kemurkaan Allah. Rasulullah s.a.w. bersabda :

Apabila umatku melakukan lima belas perkara maka teruslah bala menimpa ke atas mereka. Maka ditanya: 'Apakah perkara-perkara itu wahai Rasulullah?' Sabda Rasulullah s.a.w,

Apabila harta yang menjadi habuan bertukar tangan di kalangan orang-orang tertentu, amanah dianggap peluang atau kesempatan, zakat dianggap denda atau hutang, orang lelaki mematuhi isteri dan menderhakai ibu, berlembut dengan rakan berkeras dengan bapa, diangkat suara dalam masjid-masjid kerana bertengkar, orang yang hina dengan kejahatan menjadi pemimpin, dihormati seseorang kerana takutkan kejahatannya, arak diminum berleluasa, lelaki memakai sutera, diambil penyanyi wanita dan alat-alat muzik memuja hiburan dan ahlinya, orang yang kemudian di kalangan umat ini mengutuk orang yang dahulu.

Sumber:

Faisal Tehrani(2007), Bila Tuhan Berbicara. Kuala Lumpur: Al-Ameen Serve Holdings.

29 November 2010

Bicara Tuhan Pada Kita

Bismillahirahmanirahim...

Dengan NamaMu, Tuhan Maha Besar...

Saya sedang menelaah sebuah drama-novel hasil karya Faisal Tehrani yang bertajuk 'Bila Tuhan Berbicara'. Mengisahkan tentang kemusnahan dunia dan alam dan akhinya muncul satu dunia baru yang berbeza sama sekali setelah bumi mengalami perubahan beribu tahun. Walaupun kelihatan fiksyen, namun drama-novel ini digarap dengan satira yang menjentik minda.

Lalu, semasa meneliti tafsir saya terjumpa makna ayat 2 dan 3 Surah Al-Insan.

"Sungguh, Kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercampur yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan). Kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat"

"Sungguh, Kami telah menunjukkan kepadanya jalan yang lurus; ada yang bersyukur dan ada pula yang kufur"

Lihat bicara Tuhan pada kita. Terang dan jelas menunjukkan status penciptaan dan kekhilafan kita sebagai insan. Kita lahir dengan nikmat iman dan Islam, tetapi kita sepertinya 'derhaka' dengan melakukan segala dosa sama ada sedar ataupun tidak.

Lihatlah sekeliling alam. Dengarlah perkara-perkara yang bermanfaat. Taati segala suruhan dan perintah Allah lalu jauhilah segala larangannya. Ambil iktibar daripada apa yang berlaku. Kesombongan manusia memusnahkan dan membinasa.

Moga-moga apa yang saudara Faisal Tehrani 'khayalkan' menyedarkan umat manusia agar tidak dimusnahkan dalam kekufuran.

Wallahualam...

* Faisal Tehrani..Klik di sini

* Ingin beli novel Bila Tuhan Berbicara..Klik di sini

25 November 2010

Bertemu jodoh..Anda Bahagia?

Bismillahirahmanirahim..

Dengan nama Allah, Tuhan Pemberi Cinta..

Perkahwinan. Satu perkataan yang menggambarkan pelbagai perasaan. Gembira, suka, duka, keriangan kerana memperoleh orang 'baru' dalam kehidupan. Gembira sudah pasti tetapi mengapa duka juga ada dalam sesebuah perkahwinan?

Perkahwinan adalah tautan hati dua insan. Satu hubungan yang diredhai Allah. Dibina atas dasar sunnah Rasulullah, menyambung zuriat umat Nabi Muhammad serta niat paling utama adalah mencari keredhaan Allah. Perkahwinan boleh menjadi penawar tetapi boleh juga menjadi racun kehidupan.

Saya seringkali memerhatikan pasangan-pasangan yang baru berkahwin serta pasangan pengantin 'lama'. Banyak perbezaan serta ada juga persamaan. Pernah saya terbaca bahawa wanita adalah umpama ladang-ladang. Benih perkahwinan yang disemai, dibaja dengan sempurna bakal mengeluarkan hasil dan buah-buahan yang baik dan segar jika kena bajanya dan cukup keperluan airnya. Lalu, tentu sahaja kita mahukan ladang yang subur, produktif dan mempunyai nilai jangka masa panjang.

Jodoh merupakan takdir dan ketentuan Allah. Jika yang menjadi jodoh kita adalah seseorang yang tidak disenangi, tidak memenuhi ciri-ciri yang dikehendaki, adakah wajar kita meletakkan status ketidakbahagiaan dalam ikatan perkahwinan?

Lalu, keputusan di tangan kita, Memilih, membaja dan memelihara tanaman adalah daripada tangan kita, si pemilik ladang. Maka, jika pemilik ladang 'begitu-begitu' orangnya maka tanaman yang dijaga dan dipelihara juga 'begitu-begitu' jadinya. Oleh itu, perempuan yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik.

Memperbaiki diri, bermuhasabah dengan kelemahan diri lalu terus bingkas memulakan misi mengislahkan diri. Ini petanda baik. Berubah kepada yang lebih baik dan mudah-mudahan jodoh yang baik akan tiba. Tutup telinga dengan sindiran jodoh oleh masyarakat sekeliling. Yang penting, perbaiki diri dan akrabkan hubungan dengan Pemilik Cinta. Allah yang berkuasa menganugerahkan pemberian cinta pada sesiapa yang dikehendakiNya.

Wallahualam..

23 November 2010

Doa Hari Kelahiran

Bismillahirahmanirahim..

Sempena sambutan hari lahir yang ke-21 tahun, inilah hadiah paling bermakna yang diterima. Tafsir ayat ini ditemui semasa saya sedang bertadarus dan menelaah tafsir Surah Al-Baqarah. Doa yang dipohon agar saya terus kuat menghadapi waktu-waktu hadapan.

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat (pahala) dari (kebajikan) yang dikerjakannya dan dia mendapat (siksa) dari (kejahatan) yang diperbuatnya. (Mereka berdoa), "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami melakukan kesalahan. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebani kami dengan beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah kami, ampunilah kami dan rahmatilah kami. Engkaulah pelindung kami, maka tolonglah kami menghadapi orang-orang kafir".(Al-Baqarah: 286)

18 November 2010

Cerita Mendung

Bismillahirahmanirahim..

Dengan namaMu kumulakan,

Saya jarang sekali melihat mendung dengan sungguh-sungguh. Mungkin kerana saya agak takut dengan dentuman petir dan selalunya apabila langit kelihatan mendung, saya segera 'mengurung' diri di dalam bilik.

Namun. saya terpaksa melihat mendung hari itu. Ini disebabkan kedudukan saya pada ketika itu terhad dan di hadapan saya terbentang langit yang gelap pekat. Jam menunjukkan hampir 4.30 petang.

Hari ini, saya melihat mendung benar-benar dari sisi yang berbeza. Hari ini, saya melihat mendung dengan perasaan yang berbaur. Mungkin juga saya baharu menerima berita kematian mengejut yang sedikit meragut perasaan. Justeru, mendung pada hari itu seolah-olah mengerti perasaan saya.

Lalu, mendung yang hitam itu saya perhatikan sedalamnya. Apa sebenarnya isi mendung? Andai mendung itu berupa makhluk, apakah perasaan yang dialaminya saat itu? Mendung hitam, diiringi petir berdentum. Tetapi, akhirnya nanti mendung memuntahkan rahmat, air hujan yang menyuburkan tanaman dan mendinginkan kepanasan.

Sehingga masuk waktu solat fardhu asar, saya masih berfikir dan berfikir. Benar sekali perasaan saya. Mendung hari ini sangat berbeza.

13 November 2010

Berubah

Dengan Nama Allah Yang Maha Penyayang lagi Maha Pengampun,

Sangat mudah menyebut perubahan. Semudah melafaznya di bibir, namun perlakuan untuk merubah itu sebenarnya yang sukar diterjemahkan.

Berubah kepada yang lebih baik. Hijrah daripada satu fasa ke fasa lain. Tentunya yang lebih baik. Jarang sekali manusia berubah kepada yang lebih buruk. 'Berubah' dalam istilah tidak sedar itu mungkin ada.

Berubah mungkin cuma melibatkan tingkah. Mungkin juga hanya melibatkan bicara. Yang penting berubah. Dan yang paling penting hati turut berubah. Dari yang hitam, dibersihkan dan digilap supaya kembali putih, suci dan jernih dan salah satu 'sabun' yang paling terbaik adalah memberi maaf dan memaafkan.

Ada sesetengah orang yang relax sahaja apabila ada orang lain menyakitinya. Ada pula orang yang menyimpan dendam sampai bertahun-tahun. Kadang-kadang dibawa sekali ke liang lahad. Berlanjutan pula sehingga 7 keturunan. Perlukah perkara ini berlaku? Tanya hati. Kita pilih sendiri. Hendak teruskan atau menghulur salam maaf. Forgive and Forget. Itu kata Barat, kata kita, Islam?

"..Tetapi barangsiapa bersabar dan memaafkan, sungguh yang demikian itu termasuk perbuatan yang mulia.."(Al-Syura: 43)

"...Hendaklah mereka memberi maaf dan melapangkan dada, tidakkah kamu ingin diampuni oleh Allah.."(An-Nur: 22)

*Untuk berubah atau tidak? Anda pilih...

12 November 2010

Mawar










*Buat yang menggemari mawar ungu dan biru...

21 October 2010

Untuk Kalian

Bismillahirahmanirahim...

Siapa sahabat di hati anda?










Dan dalam persahabatan kadangkala ada pertelingkahan...


Komitmen Dan Tanggungjawab

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang..

Ya Allah, ampunkan daku untuk apa yang ingin kuluahkan ini...

Sebelum saya bergelar seorang guru, mama selalu berkata, rajin-rajin belajar dan jangan menyusahkan orang lain. Dalam menghadapi cabaran sebagai seorang bakal guru, pelbagai reaksi, senario dan keadaan yang memaksa saya berdepan dengan keperitan.

Kesusahan mengajar kita erti kematangan dan kedewasaan dan keperitan juga menjadi permulaan luahan ini.

Sebagai seorang bakal guru yang kelak akan berdepan dengan pelbagai lagi karenah anak-anak didik dan timbunan kerja-kerja sampingan, sedarilah diri kita agar tidak selalunya berada dalam posisi 'selesa'.

Rasa bertanggungjawab dalam diri sentiasa perlu ada. Rasai sedikit ketidakselesaan apabila anda perlu menyiapkan tugasan atau kerja. Korbankan sedikit masa emas anda dengan menyelesaikan segala amanah dan komitmen yang diberikan.

Kita hidup di dunia tidak lama. Maka, buatlah sesuatu yang meninggalkan kepuasan dalam diri kita dan menyenangkan hati orang lain. Moga apabila kita meninggalkan dunia, kita dihantar ke pusara dengan doa dan tangisan manusia sekeliling bukan tawa kegembiraan dan umpatan.

Wallahualam..

Untuk Lelaki Yang Tersayang

Bismillahirahmanirahim...

Hayati pesanan Rasulullah ini :

"Wahai manusia! Takutilah Allah s.w.t. dalam urusan yang berkaitan dengan wanita. Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka sebagai amanah daripada Allah s.w.t. dan mereka telah dihalalkan kepada kamu dengan kalimat Allah. Wajib ke atas mereka untuk menjaga kehormatan kamu dan menjaga diri daripada melakukan perbuatan buruk, jika mereka lakukannya, maka kamu berhak untuk menghukum mereka tetapi bukanlah dengan pukulan yang mencederakan. Jika isteri-isteri kamu setia dan jujur terhadapmu, maka wajib ke atas kamu menjaga makan-pakai dengan baik".

15 October 2010

Mewahnya Rakyat Malaysia

Bismillahirahmanirahim...

Pada setiap hari Selasa, saya bersama rakan-rakan sering berkunjung ke pasar malam yang terletak di Bandar Baru Bangi. Suatu hari, semasa menunggu makanan yang dibungkus, sahabat saya berkata, "mewah betul jadi rakyat Malaysia", katanya sambil merenung sedulang pisang goreng yang masih panas. Lalu saya terfikir, andai suatu hari nanti Malaysia dilanda kebuluran, apakah yang akan terjadi?










Lihatlah kesengsaraan mereka. Maka, bersyukurlah dengan apa yang ada.

09 October 2010

Tiada PMR 2016

SYDNEY 9 Okt. - Kementerian Pelajaran hari ini memutuskan tidak akan meneruskan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dalam formatnya sekarang tetapi diubah menggunakan format baru melalui penilaian berasaskan sekolah.

Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pula akan diteruskan tetapi dengan penambahbaikan bentuk dan komposisi subjek.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perubahan format baru bagi kedua-dua peperiksaan itu akan berkuat kuasa serentak pada peperiksaan 2016.

Menurutnya, kitaran kepada perubahan dasar dalam dua peperiksaan itu akan mengambil masa enam tahun dan bermula serentak pada kohort sesi persekolahan 2011.

Muhyiddin juga tidak menolak kemungkinan satu nama baru akan menggantikan PMR pada 2016 nanti.

"Maka pada ketika itu, kita akan adakan UPSR (format baru) dan mungkin PMR dalam bentuk baru yang tidak dipanggil PMR lagi," katanya selepas bersarapan pagi dengan media Malaysia dan para pegawainya di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perubahan itu sejajar dengan tuntutan masyarakat yang tidak mahu sistem persekolahan terlalu menekankan peperiksaan.

Menurutnya, masa diperlukan untuk perubahan dasar bagi memberi peluang pelajar yang masih berada dalam sistem pelajaran sekarang meneruskannya dengan ujian sedia ada.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, cara penyampaian mata pelajaran masih lagi terikat dengan apa yang sudah sedia ada.

Muhyiddin menjelaskan, UPSR akan berubah bentuk dan format, antaranya mengurangkan komposisi subjek teras kepada 60 peratus dan menambah pemberat komponen kokurikulum serta subjek yang dianggap penting seperti sivik kepada 40 peratus dalam pentaksiran keseluruhan.

Subjek teras di peringkat UPSR ialah Matematik, Bahasa Inggeris, Sains dan Bahasa Malaysia (Penulisan dan Kefahaman).

Menurut beliau, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira input dan pendapat jawatankuasa meja bulat penambahbaikan yang telah bersidang sebanyak tiga kali.

Sejajar dengan transformasi PMR kepada format baru itu pula, Muhyiddin telah meminta Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) melihat aspek integriti pentaksiran supaya tiada sekolah yang berkecenderungan untuk bersikap berat sebelah dalam pemberian markah kepada pelajar di sekolah masing-masing.

Penilaian berasaskan sekolah bermakna pelajar akan diminta membuat folio daripada projek yang disediakan oleh guru sekolah. Contoh terdekat amalan format baru yang sedia ada adalah mata pelajaran Kemahiran Hidup dan Pengajian Asas Fardu Ain (Pafa).

Muhyiddin berkata, beliau bercadang membawa perkara itu ke Kabinet kerana pastinya ada minat daripada masyarakat untuk mengetahui tujuan dan langkah penambahbaikan serta inisiatif baru yang hendak dibuat supaya sistem pendidikan di Malaysia tidak cenderung kepada peperiksaan semata-mata.

Bagaimanapun, katanya, perkara pokok dan penting ialah setiap peringkat kemajuan murid akan dapat nilai.

"Sesiapa pun perlu mengetahui kemajuan anak-anak mereka di sekolah," katanya.

Beliau berkata, secara umumnya masyarakat bersetuju UPSR perlu dikekalkan tetapi mereka juga berpendapat mesti ada penambahbaikan.

Di atas premis inilah, katanya, maka Kementerian Pelajaran perlu memikirkan langkah penambahbaikan antaranya mengubah suai komposisi subjek teras, mungkin daripada keseluruhan 100 peratus, maka 60 peratus sahaja komposisi adalah berasaskan bidang-bidang akademik yang terpilih yang akan diumumkan kelak.

"Baki 40 peratus adalah atas dasar kokurikulum, bidang sivik serta bidang-bidang yang dianggap penting dan perlu, tetapi pada waktu sekarang tidak dinilai secara saksama.

"Jadi ini dikira perimbangan yang sesuai. Yang ini pun perinciannya akan kita umumkan kemudian," katanya.

Bagi PMR pula, Muhyiddin berkata, umum bersetuju peperiksaan tingkatan tiga itu tidak perlu diteruskan.

Katanya, dalam dialog meja bulat yang terakhir juga, jawatankuasa bersetuju dengan cadangan kementerian supaya PMR diubah bentuknya kepada penilaian yang dibuat di sekolah.

Bagaimanapun, untuk mengelakkan tanggapan penilaian berbeza-beza, jelas beliau, adalah menjadi peranan LPM untuk menyelaras bentuk-bentuk ujian yang akan dilakukan.

"Ini untuk mengelakkan berat sebelah atau kecenderungan sekolah memberi markah yang lebih baik untuk sekolah mereka," katanya.

Muhyiddin berkata, beliau akan mengumumkan secara muktamad dalam seminggu dua ini apabila laporan lengkap sampai ke tangannya.

Beliau juga memberitahu, kementerian tidak melakukan persidangan meja bulat tersebut secara serta-merta tetapi setelah melakukan ujian rintis di banyak sekolah.

Ujian rintis melibatkan 50 sekolah pada 2008 dan 500 lagi pada 2009.

sumber : www.utusanonline.com

Rayyan Fantasi Bakal Menjelma

Bismillahirahmanirahim..

Setelah sekian lama menanti sebaik sahaja selesai menoktahkan pembacaan Cinta Sufi, akhirnya Rayyan Fantasi berjaya ditamatkan oleh Abang RAM dan insya Allah akan berada di pasaran November ini.

Sedikit sinopsis Rayyan Fantasi :

Cerita kali ini agak berbeza berbanding karya sebelumnya, namun masih dalam cakupan lingkaran berkonsepkan thriller. Tagline – apa yang terfikir...itu ada! Terserah bagaimana minda seseorang itu untuk mencapai sesuatu berbentuk realiti mahu pun fantasi. Berhati-hatilah dengan fantasi kerana faktor ini sangat bijak memanipulasikan otak.

Secara ringkas...Rayyan Fantasi mengisahkan tentang seorang anak muda yang bernama Aiddin, berasal dari daerah pergunungan Kundasang, yang mana rahsia susur galurnya dengan sengaja dirahsiakan oleh ayahnya Ibrahim. Ketika melanjutkan pelajaran di UKM, dia telah bertemu dengan Feena dan jatuh cinta. Kemudian...mereka pun bertunang. Dalam usia seawal 20-an itu, Aiddin tidak menyedari sesuatu telah merubah kehidupannya. Dia kerap pengsan. Setelah mendapat rawatan, doktor mengesahkan Aiddin menghidap barah otak tahap empat dan diramal hanya mampu hidup dalam tempoh tiga bulan sahaja.

Pada bulan terakhir kehidupannya, Aiddin mengimpikan untuk mendaki gunung Kinabalu. Impian itu terlaksana tetapi dia hilang semasa menuruni gunung itu. Kehilangannya sangat menggemparkan. Usaha mencari dan menyelamat dilakukan dengan giat namun Aiddin tidak juga ditemui. Hari demi hari, bulan bertukar tahun...dan lima tahun berlalu, Aiddin muncul semula dari kawasan hutan pergunungan. Sejak itu...berlaku beberapa siri pembunuhan ngeri. Aiddin pula kerap mendengar bisikan perempuan. Okey...tunggulah kemunculan Rayyan Fantasi menjengah di pasaran pada bulan November ini. Salam. Sampai jumpa lagi dalam karya SUTERA BIDADARI.

sumber : http://www.kelabram.com


Untuk semua pencinta karya Ramlee Awang Murshid : kita sama-sama mendoakan Abang RAM selamat menunaikan ibadah haji dan beroleh haji yang mabrur. Amin..

Pakaian Guru Pendidikan Jasmani

Berita ini telah lama disiarkan tetapi cikgu baru 'diberitahu' semasa menggeledah laman berkaitan pendidikan jasmani bagi menyiapkan assingnment yang 'tertangguh'. Guru-guru dan murid-murid dibenarkan memakai baju Pendidikan Jasmani selepas masa Pendidikan Jasmani sehingga tamat waktu persekolahan berdasarkan surat kebenaran khas yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia pada 26 Julai 2010 yang berkuatkuasa serta-merta.







sumber : http://www.moe.gov.my



KP/KPPM/5 (49)

KEBENARAN KHAS KEPADA GURU-GURU DAN MURID-MURID YANG MELAKSANAKAN MATA PELAJARAN PENDIDIKAN JASMANI DAN KESIHATAN (PJK) MEMAKAI PAKAIAN RASMI SUKAN SEPANJANG HARI BERKENAAN.


Adalah dimaklumkan bahawa dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pembangunan Sukan Sekolah yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran pada 17 mac 2010 telah memutuskan bahawa Surat Siaran tentang pakaian sukan sekolah perlu dikeluarkan dalam usaha memperkasakan sukan dan mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) di sekolah.

2. Sehubungan itu, semua guru dan murid di sekolah rendah dan sekolah menengah yang melaksanakan mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan dikehendaki memakai pakaian yang sesuai seperti berikut

2.1 Guru - Memakai T-Shirt berkolar, Seluar Sukan (Track-Bottom) serta memakai kasut sukan dan berstokin putih.

2.2 Murid - Memakai T-Shirt berkolar atau tidak berkolar, Seluar Sukan (Track-Bottom) serta memakai kasut sukan dan berstokin putih.

3. Lanjutan daripada perkara di atas, Kementerian Pelajaran Malaysia juga telah bersetuju memberi kelonggaran kepada guru-guru termasuk juga murid0murid yang melaksanakan mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) untuk
memakai pakaian sukan sepanjang hari berkenaan.

4. Sila maklumkan kandungan Surat Siaran ini kepada pegawai yang bertanggungjawab di Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah, Pengetua dan Guru Besar di bawah pentadbiran Y.Bhg Dato'/Datuk/Datin/Tuan/Puan.

Sekian, terima kasih.

"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"

t.t
TAN SRI DATO' HJ. ALIMUDDIN BIN HJ. MOHD DOM
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia



29 September 2010

Salah sistem ?





Secara praktikalnya, sistem pendidikan di Malaysia sudah dirangka dengan baik. Bermula daripada kategori prasekolah hinggalah ke institusi pengajian tinggi. Di mana wajarnya berlaku gejala-gejala sosial yang semakin meruncing? Kepuasan dan kebebasan apakah yang dicari generasi perintis negara ini?

Tidak kurang yang tegar menyalahkan sistem atas alasan terlalu rigid. Terlalu berorientasikan peperiksaan. Justeru, tindakan pemansuhan UPSR dan PMR mula diperdebatkan. Perubahan demi perubahan dalam sistem pendidikan menyebabkan pelajar-pelajar semakin 'pening'. Maka, wajarkah mereka melakukan tindakan-tindakan negatif dengan alasan bosan dan terkongkong?

Asas pembelajaran yang menjadi pegangan ahli-ahli teori adalah perubahan tingkah laku. Oleh itu, pembelajaran yang baik seharusnya menyediakan pelajar ke arah perlakuan tindakan yang positif. Sehubungan dengan itu, asas pembelajaran yang sekecil-kecilnya tidak harus diketepikan oleh sesiapa juga.

Ibu bapa yang merupakan pencorak dan pelukis kanvas hidup anak-anak perlu melakukan pertimbangan yang wajar bagi 'menentukan' hala tuju masa depan anak-anaknya secara bertoleransi. Pegang kata-kata ini, do as your heart says dan pantaulah dengan sebaik-baiknya. Mula bertindak dengan berhemah dan tekal melakukan pemantauan sehingga menyakini keupayaan anak-anaknya.



Lihat anak-anak di Palestin yang berjuang dalam pencarian ilmu saban hari...









Apabila pencarian ilmu diperjuangkan, maka tuntutan ilmu hingga ke liang lahad.