BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Pages

Followers

Popular Posts

31 July 2013

Memoir Sekolah #3 : Satu Purnama

Bismillahirahmanirahim. Dengan Nama-Nya yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Bulan lalu, tarikh yang sama (1 Julai 2013), cikgu ditempatkan di sekolah cikgu mengajar ketika ini. Sedar tidak sedar, hampir sebulan cikgu telah melapor diri sebagai seorang guru baharu. Pelbagai pengalaman diperolehi dalam waktu sesingkat ini. Cabaran juga tidak kurang mendatang dan mengajar cikgu banyak perkara.

Pada peringkat awal setelah diberikan jadual kelas, cikgu mengungkap rasa syukur yang amat sangat kerana telah diamanahkan untuk mengajar mata pelajaran kegemaran cikgu (Bahasa Malaysia). Alhamdulillah. Bermulalah tugas hakiki dengan menyiapkan bahan mengajar serta Rancangan Pengajaran. Cikgu banyak menimba ilmu daripada guru-guru senior dan mencontohi kaedah penulisan mereka.

Sedikit cabaran yang cikgu hadapi adalah PBS yang dengarnya banyak menganggu tugas-tugas guru. Pelbagai keluhan serta rungutan yang cikgu dengar mengenai PBS ini. Seminggu awal, cikgu turut mengadu pada ibu yang setia mendengar. Cikgu berasa sedikit terumbang-ambing. Teman-teman seangkatan yang lain juga begitu. Ini mungkin disebabkan oleh kemasukan kami sebagai guru agak lewat (di pertengahan tahun) menyebabkan terdapat beberapa percanggahan dengan guru-guru lama kelas berkenaan mengenai kerja-kerja murid.

Melangkah ke minggu-minggu seterusnya, cikgu mula serasi untuk mengajar seperti biasa. Masalah lain yang cikgu hadapi adalah tingkah laku murid-murid yang kadangkala menguji kesabaran cikgu. Terdapat sebilangan murid yang tidak menunjukkan rasa hormat dan semudahnya tidak menyiapkan kerja. Dimana-mana jua di negara kita ini, masalah seperti ini biasa berlaku. Di sekolah ini, cikgu lihat terdapat beberapa orang guru lelaki yang ditakuti oleh murid-murid. Mungkin selepas ini cikgu kena berguru dengan mereka.

Keadaan sekolah yang besar dengan bilangan murid yang ramai memungkinkan keadaan ini berlaku. Guru tidak berupaya untuk mengawal keseluruhan tingkah laku murid. Guru juga tidak mempunyai cukup masa untuk memantau setiap kerja murid selain semasa berada di dalam kelas. Tuntutan PBS juga menyebabkan guru-guru terus terbeban.

Masih terlalu awal untuk cikgu membuat kesimpulan. Setakat hari ini, cikgu cuma berpegang pada satu prinsip.

::Jika cabaran itu tidak menyakitkan, maka kita tidak akan pernah belajar::

p/s : Salam Ramadhan untuk semua. Semoga kita beroleh keberkatan bulan mulia ini.

03 July 2013

Memoir Sekolah #2 : Menyingkap Cabaran

Hari ini genap 3 hari di sekolah. Dan hari ini detik paling tidak gembira untuk kali pertamanya. Cikgu lewat ke LDP kerana terlupa. Alhamdulillah, tiada apa-apa tetapi cikgu berjanji tidak akan mengulangi kesilapan ini lagi. Cikgu agak penat pada hari semalam disebabkan adanya kelas tuisyen pada waktu malam dan memori LDP langsung tidak melekat dalam kotak pemikiran cikgu. Nauzubillah. Untung ada teman-teman se'posting' menghantar mesej kepada cikgu. Alhamdulillah.

Dua hari ini, beberapa perkara sering cikgu fikirkan. Hubungan dengan guru-guru lama masih biasa-biasa. Belum lagi nampak rapat. Masih terasa jurang antara kami. Bilangan cikgu yang terlalu ramai juga menyebabkan agak sukar untuk cikgu mengingati wajah dan nama mereka. Buat sementara, cikgu mengambil langkah selamat dengan melemparkan senyuman setiap kali berselisih dan juga menegur serba sedikit semasa solat atau mengambil wuduk di bilik air. Itu sahaja cara yang cikgu fikir agak berkesan. Buat masa ini.

Sekolah ini merupakan sekolah rendah terbesar di Malaysia. Oleh itu, cabaran berhadapan dengan murid-murid merupakan cabaran paling dominan bagi cikgu. Bilangan purata murid dalam setiap kelas adalah antara 40-42 orang. Kelas bagi satu-satu darjah adalah sebanyak 15 kelas. Hampir sesat juga setiap kali cikgu ingin mencari kelas-kelas relief. Murid darjah 1-3 bagi sesi petang ini agak sukar dikawal. Dalam 3 hari pertama ini, apa yang cikgu perhatikan kebanyakan murid-murid dapat memahami arahan aktiviti yang dijalankan cuma masalah yang sama tetap berlaku. Terdapat 1-2 murid yang bising dan menganggu rakan lain.

Jadual pengajaran masih belum diperolehi. Oleh itu, cikgu mengambil masa yang tersisa jika tiada relief dengan memikirkan kaedah-kaedah bagi persediaan cikgu apabila mula mengajar nanti. Cikgu tidak akan memperolehi mata pelajaran opsyen sama sekali. Cikgu mungkin akan mengajar Pendidikan Islam, Bahasa Melayu, Muzik atau Pendidikan Jasmani kerana kemungkinan ramai guru yang akan berpindah tidak lama lagi serta masalah kekurangan guru yang dihadapi oleh sekolah ini.

Pada pandangan cikgu, masalah hubungan dan komunikasi dilihat tidak ketara dalam sekolah ini. Hubungan cikgu-cikgu kelihatan rapat dan mesra. Firasat cikgu kuat mengatakan, hubungan kami (cikgu-cikgu baharu) dengan guru-guru lama mungkin akan bertambah baik sekiranya kami melakukan kerja bersama-sama nanti.

               .........................................................................

Hari Sukan belum diadakan. Jadi, bersedia sahajalah.=)


01 July 2013

Memoir Sekolah #1

1 Julai 2013. Tarikh lapor diri pertama di Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang. Tarikh yang tidak akan cikgu lupakan sampai bila-bila. Tepat 7.15 pagi tiba di PPD Pasir Gudang. Berseorangan. Sementara menunggu teman yang belum tiba, sempat melirik kereta hadapan, belakang, kiri dan kanan yang dipenuhi oleh guru-guru baharu yang bakal mendaftar. Perasaan? Kosong.

Masa berlalu pantas. Hampir padat juga tempat berkumpul di bahagian bawah PPD. 150 guru baharu bakal ditempatkan di sekolah-sekolah Daerah Pasir Gudang. Selesai menikmati nasi lemak yang tawar seperti perasaan cikgu ketika itu, kami mendaftar di sebuah meja yang dijaga oleh seorang kakak memakai tudung kuning. Cantik, putih kulitnya. Teman cikgu kata itulah orangnya.(Cikgu tak boleh beritahu siapa dia sebenarnya). Kami berdua membuat 'kepala' dengan terus naik ke bilik seminar. Kami orang yang datang dari jauh. Tidak suka membuang masa makan sambil berbual kosong apatah lagi mengumpat.

Di bilik seminar, ucapan demi ucapan disampaikan. Mata cikgu sudah mula mengantuk disebabkan nasi lemak tawar tadi telah meresapkan unsur-unsur negatifnya ke dalam diri cikgu. Teman cikgu di sebelah sudah meminta gula-gula. Mungkin dia sama seperti cikgu. Beberapa kali juga kuapan terpaksa cikgu sembunyikan. Bimbang yang berucap di depan terasa hati. Bukan niat untuk kurang ajar apatah lagi menunjukkan keras kepala sebagai guru baharu, tetapi tahap mengantuk yang kami alami amat meruncing.

Beberapa isi ucapan yang dapat cikgu tangkap dan selit di minda adalah mengenai tanggungjawab guru kepada murid, ibu bapa, masyarakat dan sekolah. Dahulu, biasa cikgu dengar ini semasa menuntut di maktab, oleh itu ini merupakan pengukuhan kepada cikgu.

Dipendekkan cerita, kami (seramai 10 orang guru baharu) dibawa ke sekolah kami diiringi GPK 1, GPK HEM dan Pengerusi KEBIRU. Perasaan cikgu mula berbunga melihat tingkah laku pentadbir yang amat baik. Biasa sahaja perasaan cikgu semasa memasuki sekolah ini kerana pada hari semalamnya, cikgu telah membuat lawatan sosial di bahagian luar sekolah. Tujuannya bagi memastikan jiwa cikgu tenang dan tenteram serta tidak menunjukkan sikap terlalu jakun.

Kami dibawa ke bilik mesyuarat. Beberapa perkara biasa dibincangkan. Peraturan dan pembahagian waktu pagi dan petang. Jiwa cikgu merudum disebabkan cikgu begitu ingin ditempatkan di sesi pagi akibat kekangan tugas tuisyen pada waktu malam. Hati cikgu berbelah-bahagi sama ada untuk menyatakan perkara yang sebenarnya atau tidak. Berpusar minda cikgu sehingga apa yang disampaikan oleh GPK 1 seperti lalu sahaja di dalam otak cikgu. Akhirnya, tiada keputusan diambil. Cikgu terima sahaja seadanya.

Kami ke kantin dan melawat sekitar sekolah. Perubahan yang cikgu lihat adalah sistem thumbprint menggantikan punch card bagi kehadiran guru. Jakun juga cikgu apabila kali pertama mencubanya. Firasat cikgu sekolah ini tampak hebat dari segi fizikalnya tetapi terlalu padat dari segi murid dan guru-gurunya. Rasa seperti pening-pening lalat apabila cikgu menjejakkan kaki ke dalam bilik guru. Maaf, cikgu tidak boleh memukul sebarang gambar kerana bimbang mengaibkan. Keadaannya terlalu padat. Wajarlah ada cerita-cerita yang cikgu dengar bahawa antara guru-guru lama juga masih tidak mengenali antara satu sama lain. Entah kenapa, cikgu rindu benar dengan meja cikgu semasa menjalani praktikal di sebuah sekolah dahulu. Bukan cikgu ingin membandingkan tetapi memang fitrah manusia. Mengharapkan sesuatu yang selesa. Cikgu harap, cikgu dapat menerima keadaan ini buat sementara waktu. Cikgu perlu berkongsi meja bersama guru sesi pagi. Oleh kerana cikgu akan hadir awal ke sekolah sebelum guru sesi pagi pulang, terpaksa cikgu mengasingkan diri di mana-mana sahaja dahulu. Tidak mengapa, cikgu cuba untuk menerimanya.

Cikgu harap, cikgu dapat memikul amanah dan tanggungjawab sebagai seorang guru baharu dengan sebaik-baiknya.

              Sekolah cikgu dari pandangan hadapan

                           .........................................................................

#Mengajar sesi petang membolehkan cikgu menikmati pagi yang dingin dengan sebaik-baiknya..(^^,)