BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Pages

Followers

Popular Posts

01 July 2013

Memoir Sekolah #1

1 Julai 2013. Tarikh lapor diri pertama di Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang. Tarikh yang tidak akan cikgu lupakan sampai bila-bila. Tepat 7.15 pagi tiba di PPD Pasir Gudang. Berseorangan. Sementara menunggu teman yang belum tiba, sempat melirik kereta hadapan, belakang, kiri dan kanan yang dipenuhi oleh guru-guru baharu yang bakal mendaftar. Perasaan? Kosong.

Masa berlalu pantas. Hampir padat juga tempat berkumpul di bahagian bawah PPD. 150 guru baharu bakal ditempatkan di sekolah-sekolah Daerah Pasir Gudang. Selesai menikmati nasi lemak yang tawar seperti perasaan cikgu ketika itu, kami mendaftar di sebuah meja yang dijaga oleh seorang kakak memakai tudung kuning. Cantik, putih kulitnya. Teman cikgu kata itulah orangnya.(Cikgu tak boleh beritahu siapa dia sebenarnya). Kami berdua membuat 'kepala' dengan terus naik ke bilik seminar. Kami orang yang datang dari jauh. Tidak suka membuang masa makan sambil berbual kosong apatah lagi mengumpat.

Di bilik seminar, ucapan demi ucapan disampaikan. Mata cikgu sudah mula mengantuk disebabkan nasi lemak tawar tadi telah meresapkan unsur-unsur negatifnya ke dalam diri cikgu. Teman cikgu di sebelah sudah meminta gula-gula. Mungkin dia sama seperti cikgu. Beberapa kali juga kuapan terpaksa cikgu sembunyikan. Bimbang yang berucap di depan terasa hati. Bukan niat untuk kurang ajar apatah lagi menunjukkan keras kepala sebagai guru baharu, tetapi tahap mengantuk yang kami alami amat meruncing.

Beberapa isi ucapan yang dapat cikgu tangkap dan selit di minda adalah mengenai tanggungjawab guru kepada murid, ibu bapa, masyarakat dan sekolah. Dahulu, biasa cikgu dengar ini semasa menuntut di maktab, oleh itu ini merupakan pengukuhan kepada cikgu.

Dipendekkan cerita, kami (seramai 10 orang guru baharu) dibawa ke sekolah kami diiringi GPK 1, GPK HEM dan Pengerusi KEBIRU. Perasaan cikgu mula berbunga melihat tingkah laku pentadbir yang amat baik. Biasa sahaja perasaan cikgu semasa memasuki sekolah ini kerana pada hari semalamnya, cikgu telah membuat lawatan sosial di bahagian luar sekolah. Tujuannya bagi memastikan jiwa cikgu tenang dan tenteram serta tidak menunjukkan sikap terlalu jakun.

Kami dibawa ke bilik mesyuarat. Beberapa perkara biasa dibincangkan. Peraturan dan pembahagian waktu pagi dan petang. Jiwa cikgu merudum disebabkan cikgu begitu ingin ditempatkan di sesi pagi akibat kekangan tugas tuisyen pada waktu malam. Hati cikgu berbelah-bahagi sama ada untuk menyatakan perkara yang sebenarnya atau tidak. Berpusar minda cikgu sehingga apa yang disampaikan oleh GPK 1 seperti lalu sahaja di dalam otak cikgu. Akhirnya, tiada keputusan diambil. Cikgu terima sahaja seadanya.

Kami ke kantin dan melawat sekitar sekolah. Perubahan yang cikgu lihat adalah sistem thumbprint menggantikan punch card bagi kehadiran guru. Jakun juga cikgu apabila kali pertama mencubanya. Firasat cikgu sekolah ini tampak hebat dari segi fizikalnya tetapi terlalu padat dari segi murid dan guru-gurunya. Rasa seperti pening-pening lalat apabila cikgu menjejakkan kaki ke dalam bilik guru. Maaf, cikgu tidak boleh memukul sebarang gambar kerana bimbang mengaibkan. Keadaannya terlalu padat. Wajarlah ada cerita-cerita yang cikgu dengar bahawa antara guru-guru lama juga masih tidak mengenali antara satu sama lain. Entah kenapa, cikgu rindu benar dengan meja cikgu semasa menjalani praktikal di sebuah sekolah dahulu. Bukan cikgu ingin membandingkan tetapi memang fitrah manusia. Mengharapkan sesuatu yang selesa. Cikgu harap, cikgu dapat menerima keadaan ini buat sementara waktu. Cikgu perlu berkongsi meja bersama guru sesi pagi. Oleh kerana cikgu akan hadir awal ke sekolah sebelum guru sesi pagi pulang, terpaksa cikgu mengasingkan diri di mana-mana sahaja dahulu. Tidak mengapa, cikgu cuba untuk menerimanya.

Cikgu harap, cikgu dapat memikul amanah dan tanggungjawab sebagai seorang guru baharu dengan sebaik-baiknya.

              Sekolah cikgu dari pandangan hadapan

                           .........................................................................

#Mengajar sesi petang membolehkan cikgu menikmati pagi yang dingin dengan sebaik-baiknya..(^^,)


0 comments: