BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Pages

Followers

Popular Posts

08 September 2012

Carpe Diem! dari Cikgu Hafiz

May peace be upon you


Bismillahirahmanirahim..

Hari yang bermakna tidak perlukan hadiah, pujian atau ganjaran. Hari yang bermakna adalah hari dimana kita memperoleh manfaat daripadanya. Melihat daripada perwatakan awal, insan ini cuma seorang yang biasa. Terlalu biasa sebenarnya. Hanya dengan T-shirt putih dan seluar, tidak dijangka beliau merupakan ikon Kementerian Pelajaran Malaysia. Dalam usia 26 tahun, beliau memecah tradisi pemikiran masyarakat : Orang muda, pengalamannya masih cetek, fikirannya masih hijau. Tetapi, beliau membuktikan bahawa dengan usia semuda ini, beliau mampu mengukir sendiri namanya di arena nasional. Dan hari ini, saya diberi peluang mengenal seorang insan yang bernama Cikgu Mohd Hafiz Bin Ismail.

Beliau diperkenalkan oleh pensyarah ketika sesi kuliah. Beliau mula-mula dikenali dengan blog hasil tulisannya. http://www.apistakkisah.blogspot.com. Di dalam blog ini, beliau merakamkan segala pengalaman, ilmu, suka duka bergelar seorang guru di sebuah sekolah Orang Asli di Sungai Siput, Perak. Pengalaman serta semangat juang beliau menyampaikan ilmu mendapat perhatian. Beliau menggunakan 'apa sahaja yang ada' di sekelilingnya untuk melaksanakan pengajaran. Dengan ketiadaan jaringan internet dan telefon tidak mematahkan semangat beliau untuk meneruskan perjuangan beliau sebagai seorang guru.



Kedatangan beliau untuk berkongsi pengalaman pagi tadi membuka sedikit ruang pemikiran sebagai seorang bakal guru yang akan mengajar di sekolah yang masih 'rahsia'. Beliau yang baru dua tahun mengajar mengumpulkan segala ilmu dan pengetahuan beliau yang diraih semasa masih belajar untuk diaplikasikan dalam ruang dimensi persekitaran yang jauh berbeza semasa menjalani praktikum. Ini cabaran sebenar seorang guru yang memungkinkan beliau meraih kejayaan sepertimana yang dikecapi sekarang.

Beliau seorang guru biasa dengan ciri-ciri luar biasa! Semoga beliau terus maju jaya dan melonjakkan persada keguruan ke satu lagi tahap lebih tinggi.

Saya pulangkan semula kata-kata beliau: Carpe Diem Cikgu Hafiz!





07 August 2012

Beri Aku Matahari

Tolong beri aku matahari
untuk beri dia silau
hingga buta
tak nampak

Tolong beri aku matahari
Untuk beri dia gembira
menerangi dunianya
yang gelita

Tolong beri aku matahari
Untuk aku dan dia
saling nampak muka
dan hati jiwa

HUJAN

Titisan bersama dingin
Itu hujan...
Rintik lebat mencium bumi
Awan sampaikan sayang
pada rumput terhampar

Biarkan...
hujan menyentuh hatimu
Biarkan ia terus mendingin
Lalu membekukan dukamu

Titis cinta dari langit
rahmat buat manusia
dari Tuhan Maha Cinta
yang tidak pernah kemarau
dan alam
akan terus menghijau

6.15 petang-2 Februari 2011-

06 August 2012

Kita pilih : Menang..Kalah



Menang, berjaya, ternama..
Kalah, mengalah, dihina..
Kita pilih
Untuk letak diri dimana
Antara dua..

Kita manusia
Mahu menang dari yang lainnya
Kerana ternyata yang menang akan ternama
dan yang kalah tercicir terhina

Bantu dirimu, hatimu, nuranimu
Beri kemenangan padanya
Menang yang bermakna
Menang kerana lawan turut berjaya
Bukan menang untuk kita
Tapi menang bagi semua

Di mana arah untuk kita tuju?
Gerak bersama
Tubuh, hati, fikiran
Kita ceraikan segala simpulan
Kita cantumkan jadi tali panjang
Yang tiada hujung
dan tak ketemu mula
Tiada akhir
abadi
sampai syurga

Disana..
Kita bersama
Persembahkan padaNya
Menangnya kita kerana Dia
Kerana piala ada padaNya
Syurga abadi, nikmat tiada tara...

01 August 2012

Ramadhan ini untuk siapa?

Bismillahirahmanirahim..

Segala puji bagi Allah, Tuhan Pemilik seluruh alam..yang memberikan kita nikmat Islam, iman, nyawa, roh dan jasad yang dipinjamkan. Dia berkuasa menghidupkan manusia dan mematikannya. Bersyukurlah sebagai hambaNya. Kita tidak pernah dilupakan walaupun sering lalai dan leka dalam kehidupan.

Alhamdulillah..Alhamdulillah..Alhamdulillah. Hari ini telah genap 12 hari kita menjalani ibadah puasa. Sudah masuk fasa kedua dalam bulan Ramadhan yang terlalu singkat jika kita mengejarnya tetapi akan dirasakan terlalu panjang jika kita tercicir meraih nikmatnya.

Saya teringat kata-kata saudara Aiman Azlan, seorang vlogger dan blogger bahawa sepanjang Ramadhan, syaitan dibelenggu dan apa yang kita perjuangkan adalah berlawan dengan nafsu tetapi terkadang manusia ini tidak terlepas dari melakukan dosa. Bagaimana ini boleh berlaku? Analogi yang diberikan begitu mudah. Andaikan air di dalam gelas. Sudu yang dikacau umpama hasutan syaitan. Apabila air dikacau dan sudu diangkat, apa yang terjadi?


Ya, kesan air masih berkocak. Begitu juga dengan syaitan. Syaitan berusaha selama 11 bulan mengacau dan mengocak hati kita sehingga apabila 1 bulan kita ditinggalkan, kesannya masih ada. Oleh itu, berusahalah dan jihad diri melawan nafsu dengan erti kata sebenar-benarnya. Jadikan syaitan musuh utama.

 "Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta dia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu; maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya." (79:40-41)

Sepanjang Ramadhan, pelbagai tolakan dan tarikan dari kiri, kanan, depan, belakang. Kekuatan dalam hati, fikiran dan cinta kita kepadaNya dijadikan senjata untuk melawan musuh dalaman kita yakni Nafsu. Misalan paling mudah, Ramadhan ini biasanya begitu mewah dengan makanan semasa berbuka. Perkara ini dilihat sebagai perkara yang kecil sahaja tetapi akan memberi kesan yang besar sekiraya tidak diubah. Ramadhan ini kita mewahkanlah dengan ibadah bukan bermewah-mewah dengan juadah ketika berbuka.

Jadikanlah Ramadhan ini untuk kita. Hadiah paling berharga yang Allah berikan sebagai tanda cinta. Kejarlah ia dan jadikan diri kita Juara Ramadhan..InshaALLAH..Salam Ramadhan Kareem.


10 May 2012

Tajamkan senjata sekarang! Bertemu di medan peperiksaan..

Bismillahirahmanirahim

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Lama sungguh blog ini bersawang dengan segala sawang lelabah dan rerama. Maaf kepada yang biasa mengunjungi tetapi hanya dihadapkan dengan post yang sama. Insya Allah, sekiranya Allah memberikan peluang untuk kembali menaip, maka jemari ini akan aktif semula dan semoga terus menerus.

Mata berkelip sesaat dan sesaat itulah saat waktu jam berdetik dan terus berjalan. Hampir menamatkan tempoh pengajian selama 5 Tahun 6 Bulan di gedung menimba ilmu keguruan. Sudah selesai menempuh ketiga-tiga praktikum yang menguji kekebalan fizikal dan minda. Kadangkala hampir lumpuh. Mujur ada sahabat yang sentiasa memimpin dan ada Dia yang sentiasa memegang hati agar tidak mudah putus asa.


Peperiksaan mula menjenguk mukanya dan semuanya mula bergelumang dengan segala nota dan buku. Walaupun kadangkala tertekan melihat barisan ayat dan huruf yang terbang berpusing-pusing mengelilingi kepala, tapi terbuai juga dengan tawa dan usikan sahabat-sahabat yang menceriakan suasana dengan lawak-lawak antarabangsa. Alhamdulillah.

Untuk teman, sahabat, kawan, musuh yang akan menghadapi ujian dunia, tajamkan pena atau pastikan padat dakwatnya kerana itu senjata kita. Pastikan juga otak yang tepu tak beku dan mudah sahaja cair di medan peperangan nanti. Selamat Berusaha dan Bertawakal kepada Allah.

::Semoga kita terlepas juga ujian di sana::