BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Pages

Followers

Popular Posts

16 December 2010

Cerita Rahsia (Bahagian 1)

Bismillahirahmanirahim.

Jika ini cerita rahsia, maka kini ianya bukan rahsia lagi.

Cerita ini cerita sembunyi-sembunyi. Diceritakan dengan berbisik-bisik agar tidak diketahui yang lain. Ini cerita rahsia. Yang tidak pernah aku ceritakan. Yang pernah mendengar mungkin hujan dan awan yang kebetulan menjadi peneman. Makhluk Tuhan terutamanya manusia tidak pernah mengetahui cerita ini. Ini cerita pelik, misteri dan penuh rahsia.

Setelah berpuluh tahun, cerita ini disimpan kemas dalam balutan hati, diperam dalam jiwa. Cuma diketahui akal sekali-sekala. Itu ketika jiwa sudah tidak betah menahan lalu meminta bantuan akal mencari tempat terbaik bercerita rahsia. Setelah bertenang, meminta jiwa dan akal senyap seketika, keputusan paling mengejut diambil. Aku akan menceritakan rahsia yang selama ini degil kusimpan kepada semua. Muktamad.

Kalau ditanya sebabnya, tiada sebab yang dapat dinyatakan. Mungkin tidak dapat lagi ditahan, maka rahsia ini perlu segera dilontar. Biar diketahui semua. Tidak mengapa. Asal saja jiwa tidak merana dan aku sendiri tidak mahu mati bersama rahsia. Bertahun lama aku tekal memegang rahsia tetapi hari ini segalanya seolah-olah hilang saktinya.

Pernah dahulu aku hampir membongkarnya. Hanya kerana air mata. Aku memang kalah dengan air mata. Sukar benar menahan rasa apabila diberi tangisan. Mujurlah, ketika itu belum masanya diberi Tuhan. Aku gagal menceritakannya. Lalu, aku segera mengajar diri agar jangan mudah terpedaya dengan air mata. Kelak, rahsia ini akan kubongkar dek air mata yang setitis dua cuma.

Sampai di sini dahulu warkah rahsia. Akan kuceritakan seterusnya di warkah mendatang.

Wassalammualaikum.

10 December 2010

Carikan Aku Dia

Carikan aku dia

yang ketawa apabila gembira

yang menangis tatkala berduka

yang memegang jika rebah


Carikan aku dia

yang pintanya cuma doa

yang kudratnya sekadar semangat

yang jalannya menunduk

tapi basah keringat


Carikan aku dia

dimana-mana kau jumpa dia

dimana-mana kau lihat dia

cari benar-benar

kerana dia sukar dilihat

jika dengan sekali pandang

07 December 2010

Pantun Awal Muharram

Burung enggang terbang merendah

Mencari teduh di tengah padang

Hijrah pertama jadi sejarah

Umat Islam mulia berkembang


Bunga kenanga kelopak bergulung

Cantik ditanam di halaman rumah

Nabi Muhammad pemimpin terulung

Tiada Baginda berpecah ummah


Kalau rebah si pohon meranti

Jatuh ke tanah jangan tertimpa

Kalau Islam teguh berdiri

Malu kafir terdiam bicara


Serindit pulang bersama-sama

Pulang ke sarang di pohon sena

Buang segala dosa dan noda

Gantikan dengan amal berganda


Mendayung sampan hingga ke kuala

Jangan lewat bila pulangnya

Allah dan Rasul ketuanan utama

Moga hijrah lebih bermakna


*Salam Maal Hijrah 1432H

03 December 2010

Sakit Apabila Terjatuh

Bismillahirahmanirahim...

Saya, anda dan semua daripada kita pasti pernah terjatuh. Sakit bukan? Kadang terluka, robek di mana-mana. Malah kadang-kadang parut akibat terjatuh masih kelihatan sehingga dewasa. Lalu, peristiwa terjatuh selalu ingin dilupai kerana manusia senang apabila mengingati perkara-perkara yang manis sahaja.

Pengajaran apa yang kita perolehi? Sekadar luka kelihatan, diubati lalu sembuh. Sedang Allah memberi pengajaran yang besar. Supaya kita lebih berhati-hati pada masa depan. Apabila kita semakin dewasa, jatuh bangun dalam hidup tidak pula kita tekuni dengan sebaiknya.

Kegagalan memberikan kepedihan, keperitan, rasa kesedihan yang kadang-kadang terlalu melampau. Jika tidak, tentu sahaja tidak ada langsung kes bunuh diri akibat kecewa. Tidak salah menangis, mengadu, meluahkan perasaan tetapi di manakah tempat terbaik meluahkan rasa?

Kita yang mengaku Islam. Membesar dalam iman dan didikan dakwah seharusnya lebih sedar, lebih tekal dan tabah menghadapi dugaan hidup agar kita lebih bersabar.

Lihat Firman Allah :

"Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar"..(Al-Baqarah: 155)

Sedikit petikan kata-kata yang dihantar sahabat. Mudah-mudahan menjadi pendorong hati dan jiwa :

Melangkah itu mudah, namun mencari arah itu terkadang payah. Mencari jalan itu mudah, namun memahami destinasi itu yang susah. Menyusuri jalan itu mudah, namun menuju noktah itu pasti mendatangkan lelah. Dalam semua ini, menjaga istiqamah itu paling susah, payah dan lelah. Namun, Dia tidak meminta manusia menjadi yang terbaik. Hanya perlu untuk melakukan yang terbaik, meletakkan sandaran dan keyakinan penuh kepadaNya. Lantas, nescaya Dia akan menguruskan yang selebihnya agar yang terbaik itu menjadi milik manusia.

Lalu, bersabarlah dan terus mengadu kepadaNya. Berusaha memperbaiki diri dan meneruskan perjuangan kehidupan ini.

Wallahualam..