BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Pages

Followers

Popular Posts

Showing posts with label Cerita Rahsia. Show all posts
Showing posts with label Cerita Rahsia. Show all posts

25 January 2011

Cerita Rahsia (Bahagian 3)

Hari itu hari paling gila. Hari dimana semua perkara tidak berada di tempatnya. Aku keluar awal. Meredakan sedikit keberangan dan kemarahan hati. Sarapan juga tidak sempat dijamah. Malas dan marah. Memang benar ini hari paling gila.

Kelmarin, temanku menelefon. Mengkhabarkan bahawa tulisanku hebat sekali. Malah, yakin benar dia berkata, "kau hebat sekali!". Aku malah ketawa besar walau hati berbunga-bunga.

Tetapi hari ini lain pula kisahnya. Itu yang aku katakan gila. Aku gila menulis tetapi tulisanku ke tempat terhormat (bakul sampah). Bila sahaja aku adukan ke temanku, dia malah menyindir. Katanya, "kau tidak cukup gila barangkali".

Semua indah di awalnya. Hingga sahaja aku terbaca ayat gila ini.

- Tulisannya teruk. Langsung tidak mencerminkan pemikiran remaja.

- Jika ini bakal penulis muda, lebih baik tidak perlu.

- Tulisannya memalukan sejarah sastera.

Maka, salahkah aku kalau menjadi gila hari ini? Kerana tulisan itu menyebabkan aku hilang pedoman tiba-tiba.

Bersambung...

14 January 2011

Cerita Rahsia (Bahagian 2)

Bismillahirahmanirahim

Jika ini cerita rahsia, maka kini ianya bukan rahsia lagi.

Andainya cerita rahsia ini mengaibkan, wajarkah diceritakan semuanya? Walhal telah terbukti jelas Yang Maha Perkasa melarang hamba-Nya membuka aib yang tersembunyi. Biarkan sahaja sekadar diketahui Tuhan dan hamba.

Namun, jika cerita rahsia ini boleh sahaja menjadi kesedaran dan keinsafan? Maka, wajarlah ianya diberitahu dan dibongkarkan. Agar yang membaca beroleh manfaat daripadanya.

Saya bukanlah seorang yang pandai menulis, apatah lagi menyusun kata. Barangkali kata-kata saya seringkali mengundang rimas dan bosan. Namun, saya kembali kepada niat yang azali agar cerita rahsia ini diketahui semua dan diserap manfaatnya. Mana yang baik dijadikan teladan mengharungi hidup. mana yang kurang baik dijadikan sempadan agar terbatas laku.

Saya sekadar bermula dengan niat, dengan nama-Nya dan iringan doa. Semoga rahsia yang bukan lagi rahsia mendatangkan kebaikan. Saya tukangi rumah cerita ini sedikit demi sedikit agar menjadi kediaman hati tuan-tuan. Kediaman yang jamil wa kamil. Rumah menuju Tuhan.

Wallahualam.

16 December 2010

Cerita Rahsia (Bahagian 1)

Bismillahirahmanirahim.

Jika ini cerita rahsia, maka kini ianya bukan rahsia lagi.

Cerita ini cerita sembunyi-sembunyi. Diceritakan dengan berbisik-bisik agar tidak diketahui yang lain. Ini cerita rahsia. Yang tidak pernah aku ceritakan. Yang pernah mendengar mungkin hujan dan awan yang kebetulan menjadi peneman. Makhluk Tuhan terutamanya manusia tidak pernah mengetahui cerita ini. Ini cerita pelik, misteri dan penuh rahsia.

Setelah berpuluh tahun, cerita ini disimpan kemas dalam balutan hati, diperam dalam jiwa. Cuma diketahui akal sekali-sekala. Itu ketika jiwa sudah tidak betah menahan lalu meminta bantuan akal mencari tempat terbaik bercerita rahsia. Setelah bertenang, meminta jiwa dan akal senyap seketika, keputusan paling mengejut diambil. Aku akan menceritakan rahsia yang selama ini degil kusimpan kepada semua. Muktamad.

Kalau ditanya sebabnya, tiada sebab yang dapat dinyatakan. Mungkin tidak dapat lagi ditahan, maka rahsia ini perlu segera dilontar. Biar diketahui semua. Tidak mengapa. Asal saja jiwa tidak merana dan aku sendiri tidak mahu mati bersama rahsia. Bertahun lama aku tekal memegang rahsia tetapi hari ini segalanya seolah-olah hilang saktinya.

Pernah dahulu aku hampir membongkarnya. Hanya kerana air mata. Aku memang kalah dengan air mata. Sukar benar menahan rasa apabila diberi tangisan. Mujurlah, ketika itu belum masanya diberi Tuhan. Aku gagal menceritakannya. Lalu, aku segera mengajar diri agar jangan mudah terpedaya dengan air mata. Kelak, rahsia ini akan kubongkar dek air mata yang setitis dua cuma.

Sampai di sini dahulu warkah rahsia. Akan kuceritakan seterusnya di warkah mendatang.

Wassalammualaikum.