BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Pages

Followers

Popular Posts

07 August 2012

Beri Aku Matahari

Tolong beri aku matahari
untuk beri dia silau
hingga buta
tak nampak

Tolong beri aku matahari
Untuk beri dia gembira
menerangi dunianya
yang gelita

Tolong beri aku matahari
Untuk aku dan dia
saling nampak muka
dan hati jiwa

HUJAN

Titisan bersama dingin
Itu hujan...
Rintik lebat mencium bumi
Awan sampaikan sayang
pada rumput terhampar

Biarkan...
hujan menyentuh hatimu
Biarkan ia terus mendingin
Lalu membekukan dukamu

Titis cinta dari langit
rahmat buat manusia
dari Tuhan Maha Cinta
yang tidak pernah kemarau
dan alam
akan terus menghijau

6.15 petang-2 Februari 2011-

06 August 2012

Kita pilih : Menang..Kalah



Menang, berjaya, ternama..
Kalah, mengalah, dihina..
Kita pilih
Untuk letak diri dimana
Antara dua..

Kita manusia
Mahu menang dari yang lainnya
Kerana ternyata yang menang akan ternama
dan yang kalah tercicir terhina

Bantu dirimu, hatimu, nuranimu
Beri kemenangan padanya
Menang yang bermakna
Menang kerana lawan turut berjaya
Bukan menang untuk kita
Tapi menang bagi semua

Di mana arah untuk kita tuju?
Gerak bersama
Tubuh, hati, fikiran
Kita ceraikan segala simpulan
Kita cantumkan jadi tali panjang
Yang tiada hujung
dan tak ketemu mula
Tiada akhir
abadi
sampai syurga

Disana..
Kita bersama
Persembahkan padaNya
Menangnya kita kerana Dia
Kerana piala ada padaNya
Syurga abadi, nikmat tiada tara...

01 August 2012

Ramadhan ini untuk siapa?

Bismillahirahmanirahim..

Segala puji bagi Allah, Tuhan Pemilik seluruh alam..yang memberikan kita nikmat Islam, iman, nyawa, roh dan jasad yang dipinjamkan. Dia berkuasa menghidupkan manusia dan mematikannya. Bersyukurlah sebagai hambaNya. Kita tidak pernah dilupakan walaupun sering lalai dan leka dalam kehidupan.

Alhamdulillah..Alhamdulillah..Alhamdulillah. Hari ini telah genap 12 hari kita menjalani ibadah puasa. Sudah masuk fasa kedua dalam bulan Ramadhan yang terlalu singkat jika kita mengejarnya tetapi akan dirasakan terlalu panjang jika kita tercicir meraih nikmatnya.

Saya teringat kata-kata saudara Aiman Azlan, seorang vlogger dan blogger bahawa sepanjang Ramadhan, syaitan dibelenggu dan apa yang kita perjuangkan adalah berlawan dengan nafsu tetapi terkadang manusia ini tidak terlepas dari melakukan dosa. Bagaimana ini boleh berlaku? Analogi yang diberikan begitu mudah. Andaikan air di dalam gelas. Sudu yang dikacau umpama hasutan syaitan. Apabila air dikacau dan sudu diangkat, apa yang terjadi?


Ya, kesan air masih berkocak. Begitu juga dengan syaitan. Syaitan berusaha selama 11 bulan mengacau dan mengocak hati kita sehingga apabila 1 bulan kita ditinggalkan, kesannya masih ada. Oleh itu, berusahalah dan jihad diri melawan nafsu dengan erti kata sebenar-benarnya. Jadikan syaitan musuh utama.

 "Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta dia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu; maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya." (79:40-41)

Sepanjang Ramadhan, pelbagai tolakan dan tarikan dari kiri, kanan, depan, belakang. Kekuatan dalam hati, fikiran dan cinta kita kepadaNya dijadikan senjata untuk melawan musuh dalaman kita yakni Nafsu. Misalan paling mudah, Ramadhan ini biasanya begitu mewah dengan makanan semasa berbuka. Perkara ini dilihat sebagai perkara yang kecil sahaja tetapi akan memberi kesan yang besar sekiraya tidak diubah. Ramadhan ini kita mewahkanlah dengan ibadah bukan bermewah-mewah dengan juadah ketika berbuka.

Jadikanlah Ramadhan ini untuk kita. Hadiah paling berharga yang Allah berikan sebagai tanda cinta. Kejarlah ia dan jadikan diri kita Juara Ramadhan..InshaALLAH..Salam Ramadhan Kareem.