BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Pages

Followers

Popular Posts

30 November 2010

15 Perkara

Hadis Nabi mengingatkan ada lima belas perkara yang harus dicegah supaya tidak mendapat kemurkaan Allah. Rasulullah s.a.w. bersabda :

Apabila umatku melakukan lima belas perkara maka teruslah bala menimpa ke atas mereka. Maka ditanya: 'Apakah perkara-perkara itu wahai Rasulullah?' Sabda Rasulullah s.a.w,

Apabila harta yang menjadi habuan bertukar tangan di kalangan orang-orang tertentu, amanah dianggap peluang atau kesempatan, zakat dianggap denda atau hutang, orang lelaki mematuhi isteri dan menderhakai ibu, berlembut dengan rakan berkeras dengan bapa, diangkat suara dalam masjid-masjid kerana bertengkar, orang yang hina dengan kejahatan menjadi pemimpin, dihormati seseorang kerana takutkan kejahatannya, arak diminum berleluasa, lelaki memakai sutera, diambil penyanyi wanita dan alat-alat muzik memuja hiburan dan ahlinya, orang yang kemudian di kalangan umat ini mengutuk orang yang dahulu.

Sumber:

Faisal Tehrani(2007), Bila Tuhan Berbicara. Kuala Lumpur: Al-Ameen Serve Holdings.

29 November 2010

Bicara Tuhan Pada Kita

Bismillahirahmanirahim...

Dengan NamaMu, Tuhan Maha Besar...

Saya sedang menelaah sebuah drama-novel hasil karya Faisal Tehrani yang bertajuk 'Bila Tuhan Berbicara'. Mengisahkan tentang kemusnahan dunia dan alam dan akhinya muncul satu dunia baru yang berbeza sama sekali setelah bumi mengalami perubahan beribu tahun. Walaupun kelihatan fiksyen, namun drama-novel ini digarap dengan satira yang menjentik minda.

Lalu, semasa meneliti tafsir saya terjumpa makna ayat 2 dan 3 Surah Al-Insan.

"Sungguh, Kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercampur yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan). Kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat"

"Sungguh, Kami telah menunjukkan kepadanya jalan yang lurus; ada yang bersyukur dan ada pula yang kufur"

Lihat bicara Tuhan pada kita. Terang dan jelas menunjukkan status penciptaan dan kekhilafan kita sebagai insan. Kita lahir dengan nikmat iman dan Islam, tetapi kita sepertinya 'derhaka' dengan melakukan segala dosa sama ada sedar ataupun tidak.

Lihatlah sekeliling alam. Dengarlah perkara-perkara yang bermanfaat. Taati segala suruhan dan perintah Allah lalu jauhilah segala larangannya. Ambil iktibar daripada apa yang berlaku. Kesombongan manusia memusnahkan dan membinasa.

Moga-moga apa yang saudara Faisal Tehrani 'khayalkan' menyedarkan umat manusia agar tidak dimusnahkan dalam kekufuran.

Wallahualam...

* Faisal Tehrani..Klik di sini

* Ingin beli novel Bila Tuhan Berbicara..Klik di sini

25 November 2010

Bertemu jodoh..Anda Bahagia?

Bismillahirahmanirahim..

Dengan nama Allah, Tuhan Pemberi Cinta..

Perkahwinan. Satu perkataan yang menggambarkan pelbagai perasaan. Gembira, suka, duka, keriangan kerana memperoleh orang 'baru' dalam kehidupan. Gembira sudah pasti tetapi mengapa duka juga ada dalam sesebuah perkahwinan?

Perkahwinan adalah tautan hati dua insan. Satu hubungan yang diredhai Allah. Dibina atas dasar sunnah Rasulullah, menyambung zuriat umat Nabi Muhammad serta niat paling utama adalah mencari keredhaan Allah. Perkahwinan boleh menjadi penawar tetapi boleh juga menjadi racun kehidupan.

Saya seringkali memerhatikan pasangan-pasangan yang baru berkahwin serta pasangan pengantin 'lama'. Banyak perbezaan serta ada juga persamaan. Pernah saya terbaca bahawa wanita adalah umpama ladang-ladang. Benih perkahwinan yang disemai, dibaja dengan sempurna bakal mengeluarkan hasil dan buah-buahan yang baik dan segar jika kena bajanya dan cukup keperluan airnya. Lalu, tentu sahaja kita mahukan ladang yang subur, produktif dan mempunyai nilai jangka masa panjang.

Jodoh merupakan takdir dan ketentuan Allah. Jika yang menjadi jodoh kita adalah seseorang yang tidak disenangi, tidak memenuhi ciri-ciri yang dikehendaki, adakah wajar kita meletakkan status ketidakbahagiaan dalam ikatan perkahwinan?

Lalu, keputusan di tangan kita, Memilih, membaja dan memelihara tanaman adalah daripada tangan kita, si pemilik ladang. Maka, jika pemilik ladang 'begitu-begitu' orangnya maka tanaman yang dijaga dan dipelihara juga 'begitu-begitu' jadinya. Oleh itu, perempuan yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik.

Memperbaiki diri, bermuhasabah dengan kelemahan diri lalu terus bingkas memulakan misi mengislahkan diri. Ini petanda baik. Berubah kepada yang lebih baik dan mudah-mudahan jodoh yang baik akan tiba. Tutup telinga dengan sindiran jodoh oleh masyarakat sekeliling. Yang penting, perbaiki diri dan akrabkan hubungan dengan Pemilik Cinta. Allah yang berkuasa menganugerahkan pemberian cinta pada sesiapa yang dikehendakiNya.

Wallahualam..

23 November 2010

Doa Hari Kelahiran

Bismillahirahmanirahim..

Sempena sambutan hari lahir yang ke-21 tahun, inilah hadiah paling bermakna yang diterima. Tafsir ayat ini ditemui semasa saya sedang bertadarus dan menelaah tafsir Surah Al-Baqarah. Doa yang dipohon agar saya terus kuat menghadapi waktu-waktu hadapan.

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat (pahala) dari (kebajikan) yang dikerjakannya dan dia mendapat (siksa) dari (kejahatan) yang diperbuatnya. (Mereka berdoa), "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami melakukan kesalahan. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebani kami dengan beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah kami, ampunilah kami dan rahmatilah kami. Engkaulah pelindung kami, maka tolonglah kami menghadapi orang-orang kafir".(Al-Baqarah: 286)

18 November 2010

Cerita Mendung

Bismillahirahmanirahim..

Dengan namaMu kumulakan,

Saya jarang sekali melihat mendung dengan sungguh-sungguh. Mungkin kerana saya agak takut dengan dentuman petir dan selalunya apabila langit kelihatan mendung, saya segera 'mengurung' diri di dalam bilik.

Namun. saya terpaksa melihat mendung hari itu. Ini disebabkan kedudukan saya pada ketika itu terhad dan di hadapan saya terbentang langit yang gelap pekat. Jam menunjukkan hampir 4.30 petang.

Hari ini, saya melihat mendung benar-benar dari sisi yang berbeza. Hari ini, saya melihat mendung dengan perasaan yang berbaur. Mungkin juga saya baharu menerima berita kematian mengejut yang sedikit meragut perasaan. Justeru, mendung pada hari itu seolah-olah mengerti perasaan saya.

Lalu, mendung yang hitam itu saya perhatikan sedalamnya. Apa sebenarnya isi mendung? Andai mendung itu berupa makhluk, apakah perasaan yang dialaminya saat itu? Mendung hitam, diiringi petir berdentum. Tetapi, akhirnya nanti mendung memuntahkan rahmat, air hujan yang menyuburkan tanaman dan mendinginkan kepanasan.

Sehingga masuk waktu solat fardhu asar, saya masih berfikir dan berfikir. Benar sekali perasaan saya. Mendung hari ini sangat berbeza.

13 November 2010

Berubah

Dengan Nama Allah Yang Maha Penyayang lagi Maha Pengampun,

Sangat mudah menyebut perubahan. Semudah melafaznya di bibir, namun perlakuan untuk merubah itu sebenarnya yang sukar diterjemahkan.

Berubah kepada yang lebih baik. Hijrah daripada satu fasa ke fasa lain. Tentunya yang lebih baik. Jarang sekali manusia berubah kepada yang lebih buruk. 'Berubah' dalam istilah tidak sedar itu mungkin ada.

Berubah mungkin cuma melibatkan tingkah. Mungkin juga hanya melibatkan bicara. Yang penting berubah. Dan yang paling penting hati turut berubah. Dari yang hitam, dibersihkan dan digilap supaya kembali putih, suci dan jernih dan salah satu 'sabun' yang paling terbaik adalah memberi maaf dan memaafkan.

Ada sesetengah orang yang relax sahaja apabila ada orang lain menyakitinya. Ada pula orang yang menyimpan dendam sampai bertahun-tahun. Kadang-kadang dibawa sekali ke liang lahad. Berlanjutan pula sehingga 7 keturunan. Perlukah perkara ini berlaku? Tanya hati. Kita pilih sendiri. Hendak teruskan atau menghulur salam maaf. Forgive and Forget. Itu kata Barat, kata kita, Islam?

"..Tetapi barangsiapa bersabar dan memaafkan, sungguh yang demikian itu termasuk perbuatan yang mulia.."(Al-Syura: 43)

"...Hendaklah mereka memberi maaf dan melapangkan dada, tidakkah kamu ingin diampuni oleh Allah.."(An-Nur: 22)

*Untuk berubah atau tidak? Anda pilih...

12 November 2010

Mawar










*Buat yang menggemari mawar ungu dan biru...