BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Pages

Followers

Popular Posts

06 January 2015

2015 : Perubahan Demi Diri

Bismillahirahmanirahim.
Assalammualaikum w.b.t


Seperti selalunya, tahun baharu Masihi 2015 disambut meriah bagi meraikan permulaan semangat dan kehidupan.


Namun, berakhirnya tahun 2014 menyaksikan pelbagai kisah mewarnai wajah negara kita. Untuk sedikit waktu tersisa, kita titipkan doa buat mangsa tragedi MH370, MH17, Bencana Banjir yang melanda Pantai Timur Negara. Antara yang begitu menyentuh hati dan menginsafkan setiap warganegara ini.


Yang jelas, sebagai Muslim yang berpegang teguh pada Yang Maha Esa, inilah ujian dan tarbiah yang Allah berikan agar kita berhenti sejenak, berfikir seketika tentang segala yang telah kita lakukan dan lalui sepanjang kehidupan ini.


2015 ini sekadar peralihan tahun. Jika tahun 2015, kita masih berjalan dengan cara yang sama, berfikir dalam medium sekembar tahun sebelumnya-tiada apa juga yang akan berubah. Segalanya bermula dari diri. Angka adalah nombor. Masa adalah waktu. Tetapi, kita boleh berubah dari biasa ----> luar biasa.


Semoga yang terbaik untuk kita semua.­čśŐ

23 December 2013

Lensa D90 #1 : Village






20 November 2013

Memoir Sekolah #4 : FUCK dan DOG

Bismillahirahmanirahim.

Sebelum apa-apa, jangan maki saya. Tajuk ini bukan bersifat menghina mana-mana pihak atau agama tetapi melibatkan satu perkara yang amat penting dan kadangkala terlepas dari pandangan masyarakat khususnya guru dan ibu bapa.

Kisah pertama :

Ketika itu, saya sedang mengajar di sebuah kelas pada suatu petang yang dingin. Menanti murid menyiapkan evidens dengan penuh kesabaran, mata saya tertancap pada pergelangan tangan seorang murid lelaki yang bersongkok. Jam tangan kepunyaannya jelas menarik perhatian. Dengan warna kuning menawan, mata saya terus melekat agak lama di situ.

Sesuatu yang pelik. Hati saya berdebar-debar. Benarkah apa yang saya lihat?

Di atas muka jamnya tertulis dengan huruf besar warna kuning : F.U.C.K

Saya berfikir sejenak. Memikirkan tindakan apa yang perlu saya ambil. Saya tegur murid itu dengan berhemah. Bertanya di mana dia membeli jam itu. Siapa yang membelikan jam itu dan pelbagai lagi. Saya kecewa. Jelas menurut katanya, ibu bapanya seperti tidak kisah dia membeli jam sebegitu. Sayang.

Kisah kedua :

Saya sedang mengajar Bahasa Malaysia tahap 2. Murid ini duduk di hadapan sekali. Betul-betul di hadapan meja saya. Mata saya meliar melihat tingkah laku mereka yang sedang menyiapkan kerja. Tangan saya gatal pula ingin meraba bekas pensel di hadapan murid tersebut. Satu lagi perkataan yang mengundang rasa debar di hati : No. 1 Cool Dog.

Saya tidak berlengah lagi. Ini sudah kali kedua kesabaran saya diuji. Saya mula mengeluarkan segala hujah dan fakta bagi menyokong bantahan saya terhadap perlakuan mereka ini.

Mungkin mereka kurang faham. Tetapi, saya berdoa semoga mereka akan faham juga suatu hari nanti bahawa kita semakin dihimpit dengan ideologi yang sedikit demi sedikit membawa kita tersasar dari landasan yang sedang dilalui.

Sebagai guru dan ibu bapa, saya mohon; bersikaplah lebih sensitif terhadap tingkah laku anak dan murid anda di dalam kelas. Perhatikan atas bawah kiri kanan mereka.


Kita mampu mengubahnya kerana kita arkitek bangsa. Rosak akhlak pemuda pemudi, runtuhlah tamadun bangsa dan agama.

Wallahualam.

31 July 2013

Memoir Sekolah #3 : Satu Purnama

Bismillahirahmanirahim. Dengan Nama-Nya yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Bulan lalu, tarikh yang sama (1 Julai 2013), cikgu ditempatkan di sekolah cikgu mengajar ketika ini. Sedar tidak sedar, hampir sebulan cikgu telah melapor diri sebagai seorang guru baharu. Pelbagai pengalaman diperolehi dalam waktu sesingkat ini. Cabaran juga tidak kurang mendatang dan mengajar cikgu banyak perkara.

Pada peringkat awal setelah diberikan jadual kelas, cikgu mengungkap rasa syukur yang amat sangat kerana telah diamanahkan untuk mengajar mata pelajaran kegemaran cikgu (Bahasa Malaysia). Alhamdulillah. Bermulalah tugas hakiki dengan menyiapkan bahan mengajar serta Rancangan Pengajaran. Cikgu banyak menimba ilmu daripada guru-guru senior dan mencontohi kaedah penulisan mereka.

Sedikit cabaran yang cikgu hadapi adalah PBS yang dengarnya banyak menganggu tugas-tugas guru. Pelbagai keluhan serta rungutan yang cikgu dengar mengenai PBS ini. Seminggu awal, cikgu turut mengadu pada ibu yang setia mendengar. Cikgu berasa sedikit terumbang-ambing. Teman-teman seangkatan yang lain juga begitu. Ini mungkin disebabkan oleh kemasukan kami sebagai guru agak lewat (di pertengahan tahun) menyebabkan terdapat beberapa percanggahan dengan guru-guru lama kelas berkenaan mengenai kerja-kerja murid.

Melangkah ke minggu-minggu seterusnya, cikgu mula serasi untuk mengajar seperti biasa. Masalah lain yang cikgu hadapi adalah tingkah laku murid-murid yang kadangkala menguji kesabaran cikgu. Terdapat sebilangan murid yang tidak menunjukkan rasa hormat dan semudahnya tidak menyiapkan kerja. Dimana-mana jua di negara kita ini, masalah seperti ini biasa berlaku. Di sekolah ini, cikgu lihat terdapat beberapa orang guru lelaki yang ditakuti oleh murid-murid. Mungkin selepas ini cikgu kena berguru dengan mereka.

Keadaan sekolah yang besar dengan bilangan murid yang ramai memungkinkan keadaan ini berlaku. Guru tidak berupaya untuk mengawal keseluruhan tingkah laku murid. Guru juga tidak mempunyai cukup masa untuk memantau setiap kerja murid selain semasa berada di dalam kelas. Tuntutan PBS juga menyebabkan guru-guru terus terbeban.

Masih terlalu awal untuk cikgu membuat kesimpulan. Setakat hari ini, cikgu cuma berpegang pada satu prinsip.

::Jika cabaran itu tidak menyakitkan, maka kita tidak akan pernah belajar::

p/s : Salam Ramadhan untuk semua. Semoga kita beroleh keberkatan bulan mulia ini.

03 July 2013

Memoir Sekolah #2 : Menyingkap Cabaran

Hari ini genap 3 hari di sekolah. Dan hari ini detik paling tidak gembira untuk kali pertamanya. Cikgu lewat ke LDP kerana terlupa. Alhamdulillah, tiada apa-apa tetapi cikgu berjanji tidak akan mengulangi kesilapan ini lagi. Cikgu agak penat pada hari semalam disebabkan adanya kelas tuisyen pada waktu malam dan memori LDP langsung tidak melekat dalam kotak pemikiran cikgu. Nauzubillah. Untung ada teman-teman se'posting' menghantar mesej kepada cikgu. Alhamdulillah.

Dua hari ini, beberapa perkara sering cikgu fikirkan. Hubungan dengan guru-guru lama masih biasa-biasa. Belum lagi nampak rapat. Masih terasa jurang antara kami. Bilangan cikgu yang terlalu ramai juga menyebabkan agak sukar untuk cikgu mengingati wajah dan nama mereka. Buat sementara, cikgu mengambil langkah selamat dengan melemparkan senyuman setiap kali berselisih dan juga menegur serba sedikit semasa solat atau mengambil wuduk di bilik air. Itu sahaja cara yang cikgu fikir agak berkesan. Buat masa ini.

Sekolah ini merupakan sekolah rendah terbesar di Malaysia. Oleh itu, cabaran berhadapan dengan murid-murid merupakan cabaran paling dominan bagi cikgu. Bilangan purata murid dalam setiap kelas adalah antara 40-42 orang. Kelas bagi satu-satu darjah adalah sebanyak 15 kelas. Hampir sesat juga setiap kali cikgu ingin mencari kelas-kelas relief. Murid darjah 1-3 bagi sesi petang ini agak sukar dikawal. Dalam 3 hari pertama ini, apa yang cikgu perhatikan kebanyakan murid-murid dapat memahami arahan aktiviti yang dijalankan cuma masalah yang sama tetap berlaku. Terdapat 1-2 murid yang bising dan menganggu rakan lain.

Jadual pengajaran masih belum diperolehi. Oleh itu, cikgu mengambil masa yang tersisa jika tiada relief dengan memikirkan kaedah-kaedah bagi persediaan cikgu apabila mula mengajar nanti. Cikgu tidak akan memperolehi mata pelajaran opsyen sama sekali. Cikgu mungkin akan mengajar Pendidikan Islam, Bahasa Melayu, Muzik atau Pendidikan Jasmani kerana kemungkinan ramai guru yang akan berpindah tidak lama lagi serta masalah kekurangan guru yang dihadapi oleh sekolah ini.

Pada pandangan cikgu, masalah hubungan dan komunikasi dilihat tidak ketara dalam sekolah ini. Hubungan cikgu-cikgu kelihatan rapat dan mesra. Firasat cikgu kuat mengatakan, hubungan kami (cikgu-cikgu baharu) dengan guru-guru lama mungkin akan bertambah baik sekiranya kami melakukan kerja bersama-sama nanti.

               .........................................................................

Hari Sukan belum diadakan. Jadi, bersedia sahajalah.=)


01 July 2013

Memoir Sekolah #1

1 Julai 2013. Tarikh lapor diri pertama di Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang. Tarikh yang tidak akan cikgu lupakan sampai bila-bila. Tepat 7.15 pagi tiba di PPD Pasir Gudang. Berseorangan. Sementara menunggu teman yang belum tiba, sempat melirik kereta hadapan, belakang, kiri dan kanan yang dipenuhi oleh guru-guru baharu yang bakal mendaftar. Perasaan? Kosong.

Masa berlalu pantas. Hampir padat juga tempat berkumpul di bahagian bawah PPD. 150 guru baharu bakal ditempatkan di sekolah-sekolah Daerah Pasir Gudang. Selesai menikmati nasi lemak yang tawar seperti perasaan cikgu ketika itu, kami mendaftar di sebuah meja yang dijaga oleh seorang kakak memakai tudung kuning. Cantik, putih kulitnya. Teman cikgu kata itulah orangnya.(Cikgu tak boleh beritahu siapa dia sebenarnya). Kami berdua membuat 'kepala' dengan terus naik ke bilik seminar. Kami orang yang datang dari jauh. Tidak suka membuang masa makan sambil berbual kosong apatah lagi mengumpat.

Di bilik seminar, ucapan demi ucapan disampaikan. Mata cikgu sudah mula mengantuk disebabkan nasi lemak tawar tadi telah meresapkan unsur-unsur negatifnya ke dalam diri cikgu. Teman cikgu di sebelah sudah meminta gula-gula. Mungkin dia sama seperti cikgu. Beberapa kali juga kuapan terpaksa cikgu sembunyikan. Bimbang yang berucap di depan terasa hati. Bukan niat untuk kurang ajar apatah lagi menunjukkan keras kepala sebagai guru baharu, tetapi tahap mengantuk yang kami alami amat meruncing.

Beberapa isi ucapan yang dapat cikgu tangkap dan selit di minda adalah mengenai tanggungjawab guru kepada murid, ibu bapa, masyarakat dan sekolah. Dahulu, biasa cikgu dengar ini semasa menuntut di maktab, oleh itu ini merupakan pengukuhan kepada cikgu.

Dipendekkan cerita, kami (seramai 10 orang guru baharu) dibawa ke sekolah kami diiringi GPK 1, GPK HEM dan Pengerusi KEBIRU. Perasaan cikgu mula berbunga melihat tingkah laku pentadbir yang amat baik. Biasa sahaja perasaan cikgu semasa memasuki sekolah ini kerana pada hari semalamnya, cikgu telah membuat lawatan sosial di bahagian luar sekolah. Tujuannya bagi memastikan jiwa cikgu tenang dan tenteram serta tidak menunjukkan sikap terlalu jakun.

Kami dibawa ke bilik mesyuarat. Beberapa perkara biasa dibincangkan. Peraturan dan pembahagian waktu pagi dan petang. Jiwa cikgu merudum disebabkan cikgu begitu ingin ditempatkan di sesi pagi akibat kekangan tugas tuisyen pada waktu malam. Hati cikgu berbelah-bahagi sama ada untuk menyatakan perkara yang sebenarnya atau tidak. Berpusar minda cikgu sehingga apa yang disampaikan oleh GPK 1 seperti lalu sahaja di dalam otak cikgu. Akhirnya, tiada keputusan diambil. Cikgu terima sahaja seadanya.

Kami ke kantin dan melawat sekitar sekolah. Perubahan yang cikgu lihat adalah sistem thumbprint menggantikan punch card bagi kehadiran guru. Jakun juga cikgu apabila kali pertama mencubanya. Firasat cikgu sekolah ini tampak hebat dari segi fizikalnya tetapi terlalu padat dari segi murid dan guru-gurunya. Rasa seperti pening-pening lalat apabila cikgu menjejakkan kaki ke dalam bilik guru. Maaf, cikgu tidak boleh memukul sebarang gambar kerana bimbang mengaibkan. Keadaannya terlalu padat. Wajarlah ada cerita-cerita yang cikgu dengar bahawa antara guru-guru lama juga masih tidak mengenali antara satu sama lain. Entah kenapa, cikgu rindu benar dengan meja cikgu semasa menjalani praktikal di sebuah sekolah dahulu. Bukan cikgu ingin membandingkan tetapi memang fitrah manusia. Mengharapkan sesuatu yang selesa. Cikgu harap, cikgu dapat menerima keadaan ini buat sementara waktu. Cikgu perlu berkongsi meja bersama guru sesi pagi. Oleh kerana cikgu akan hadir awal ke sekolah sebelum guru sesi pagi pulang, terpaksa cikgu mengasingkan diri di mana-mana sahaja dahulu. Tidak mengapa, cikgu cuba untuk menerimanya.

Cikgu harap, cikgu dapat memikul amanah dan tanggungjawab sebagai seorang guru baharu dengan sebaik-baiknya.

              Sekolah cikgu dari pandangan hadapan

                           .........................................................................

#Mengajar sesi petang membolehkan cikgu menikmati pagi yang dingin dengan sebaik-baiknya..(^^,)


15 May 2013

Aku Menjadi Cikgu Kerana Permainan Psikologi

16 Mei 2013.

Hari Guru disambut khas buat cikgu-cikgu di seluruh negara. Oleh kerana aku merupakan seorang guru, maka tarikh ini turut menjadi kegembiraanku. Jika 24 tahun yang lalu, aku dilahirkan sebagai seorang doktor, mungkin aku tidak akan jadi cikgu sekarang. Sebenarnya, persoalan mengapa aku jadi cikgu belum terjawab walaupun sejak 4 tahun yang lalu aku mendaftarkan diri sebagai guru pelatih di maktab perguruan. Tidak lama lagi aku sah bergelar guru dengan menerima segulung ijazah tetapi aku masih tertanya-tanya mengapa aku menjadi guru atau lebih tepat mahu menjadi guru. Adakah mungkin keinginan aku untuk menjadi seorang cikgu adalah semata-mata kerana permainan psikologi mak aku? Kenapa aku kata begitu? Aku akan cerita.

Aku memulakan persekolahan peringkat rendah seperti rakan sebaya aku. Ketika itu, jika ditanya apakah cita-cita kami, jawapan yang diberikan adalah hampir sama. Ini juga salah satu kemusykilan aku. Mengapa ketika itu tidak ada seorang pun murid yang akan memberitahu cita-citanya yang luar biasa seperti mekanik kapal terbang, pengeksport tong gas dan sebagainya. Jawapan-jawapan popular berkenaan cita-cita seperti yang ramai sedia maklum adalah seperti doktor, jurutera, guru, pensyarah, arkitek. Ketika itu aku sedar. Sekiranya kita tidak memberikan jawapan seperti tertera ini, kita akan jadi makhluk asing yang dibenci oleh manusia. Kita akan keseorangan tanpa kawan dan tentunya diketawakan semasa sedang melantak bihun sup dan meneguk air sirap di kantin pada waktu rehat.

Aku ingat aku sering memberitahu guru bahawa cita-citaku adalah guru atau pensyarah (menjadi kebiasaan anak-anak kecil mempunyai lebih dari satu cita-cita). Sebenarnya ramai yang tidak tahu bahawa aku telah dipermainkan dengan kaedah psikologi mak aku di rumah. Mak aku adalah seorang suri rumah sepenuh masa. Beliau sering menceritakan kisah hidupnya kepadaku terutamanya waktu aku duduk melepak baring-baring dengan beliau di bawah kipas ruang tamu rumah kami. Mak aku bercita-cita menjadi guru tetapi disebabkan mak aku merupakan anak perempuan yang sulung, maka menjadi tanggungjawabnya untuk menjaga adik-adiknya yang masih kecil. Oleh kerana itu, mak aku terpaksa melupakan hasratnya untuk meneruskan pengajian di maktab. Takdir Allah, mak aku berkahwin dalam usia muda. Maka, hasrat dan cita-cita beliau terpaksa dimatikan terus. Beliau selalu berharap dan berdoa semoga anak-anak beliau meneruskan cita-citanya. Daripada keadaan sebegini, yang saban waktu aku mendengar keluhannya, lantas cita-cita menjadi guru itu semulajadi melekat dalam kotak pemikiranku tanpa aku mahu untuk menafikannya. Sedari itulah, aku pasakkan pekerjaaan GURU sebagai cita-citaku.



Begitu kuat acuan psikologi yang mak aku mainkan. Beliau tiada ijazah atau kepakaran tetapi beliau telah menanamkan cita-cita itu begitu kuat dalam hati dan fikiranku.

**************************

Aku tak pernah salahkan mak aku, malah aku bersyukur.

Mak aku tak punya apa-apa tetapi aku tahu dia punya doa boleh jadi senjata. Semangat dia menjadikan aku manusia bukannya makhluk asing dari lain dunia.

Selamat Hari Guru untuk aku. Dan Selamat Hari Ibu untuk mak aku.

13 May 2013

Kisah Adip dan Penebuk Lubangku Yang Terkorban

Sebenarnya kisah ini sudah berlalu beberapa minggu tetapi rasanya baru nak dikongsikan.

Seperti yang ramai tahu, aku mengajar sementara di sebuah Pusat Tuisyen sekitar tempat tinggal aku. Aku mengajar menengah rendah dan juga murid sekolah rendah. Pada setiap malam Rabu, aku diamanahkan untuk mengajar kelas Tahun 3 (Bahasa Melayu dan Sains). Sebagai seorang guru, tidak wajarlah aku melaksanakan tugasku acuh tak acuh. Oleh itu, aku telah bercadang menjalankan satu permainan untuk menceriakan lagi kelasku.

Malam itu, aku datang dengan perasaan yang gembira.

Eh, kejap. Aku kena cerita dulu siapa Adip ni. Adip ini salah seorang murid aku di kelas ini. Beliau memang terkenal dengan kelincahannya tidak kira anggota badan atau mulut semasa di dalam kelas. Aku telah lama memerhatikan sikap beliau dan masih berfikir-fikir kaedah paling sesuai untuk membuatkan kelincahan dan kebisingannya sedikit menurun.

Pada malam itu, aku mengajar seperti biasa. 20 minit berlalu, aku terasa ingin melaksanakan sedikit aktiviti permainan. Seperti biasa, budak-budak bersorak gembira. Aku mengajar mereka melakukan senaman Taichi mudah. Aku tidak sedar entah bila, Adip telah mengangkat bekas penselku yang tidak berzip ke udara. Maka, satu perkara yang aku tidak ingini telah terjadi.

Penebuk lubang kesayanganku jatuh berderai di atas lantai. Pecah. Seperti hati aku yang melihatnya. Satu kelas terdiam. Sepi. Macam malaikat maut yang datang. Mataku menjegil ke arah Adip sambil bercekak pinggang. Fikiranku kosong dan mulutku terkunci rapat. Murid-murid lain sibuk melihat penebuk lubangku. Aku menyuruh salah seorang murid membuang penebuk lubangku ke dalam tong sampah. Aku macam nak menangis tapi aku tahan. Kalau aku menangis, habislah kelas.

Mulut aku laju membebel. Jangan usik barang cikgu, hormat cikgu, jangan main-main dan macam-macam lagi bebelan yang aku tak sempat susun dalam fikiran. Adip diam macam orang bisu. Budak-budak lain sibuk menyalahkan dia. Aku teruskan pengajaran macam biasa sambil hati bengkak mengingatkan penebuk lubangku yang telah banyak berjasa sejak aku di maktab lagi. Yang paling menyedihkan hatiku, penebuk lubang itu jenama DOLPHIN.

Sehingga kelasku berakhir jam 10 malam. Adip diam tak bercakap walau sepatah. Aku rasa dia takut bercampur rasa bersalah dan sedikit malu. Aku biarkan sahaja.

Tetapi, dalam hati aku berharap sangat semoga apa yang berlaku ini ada hikmahnya. Mungkin cara ini dapat merubah perangai dan tingkah lakunya. Siapa tahu.

*********************************

Dalam perjalanan balik, aku terbayang-bayang muka Adip dan penebuk lubangku. Aku harap dengan terkorbannya penebuk lubangku, sikap Adip berubah. Aku tidak sabar menunggu hari Rabu seterusnya.

P/S : Aku takkan beli penebuk lubang jenama DOLPHIN lagi. Kalau pecah, sedihnya melampau.

10 May 2013

Si Anak Kecil Dan Permaisuri Hati


Untuk Ibu Seluruh Dunia,

Tuhan,
Kau datangkan aku melalui dia
Dengan cinta, kasih dan sayangnya
Tidak terbanding
Segunung emas atau permata

Tuhan,
Aku ini anak kecil
bertaraf hamba
Yang entah layak entah tidak untuk meminta
Ampunilah segala dosaku yang banyak tidak terkira
Sampaikanlah doa penuh cinta ini padanya

Entah nanti,
Di suatu waktu yang belum pasti
Aku pergi atau dia yang pergi
Sesiapa juga antara kami
Jangan putuskan ikatan ini
Pautkan hati kami
Erat dan terpatri
Aku dan dirinya
Si anak kecil dan Permaisuri Hati.

07 May 2013

Untuk Bangsaku


Mentari menyergahmu dengan teriknya
Kau masih mendongak menadah mata
Bulan mengejekmu dengan sinarnya
Kau malah memuji keindahannya
Bintang mencacimu dengan kerlipannya
Kau tersenyum menyembunyikan duka


Kau yang mendongakkan kepala
Kau yang mendongakkan kepala
Belajarlah menundukkan kepalamu


Setia memandang langit dunia
Hingga sakit belakang tengkuk lehermu
Kau tidak peduli
Asalkan matamu bisa melihat bintang, bulan dan mentari.

Badanmu itu bukanlah terawang-awang tiada nyawa.
Jasadmu berpijak di bumi nyata
Di atas tanah sekangkang kera
Yang bukan milik sesiapa.

Yang asyik memandang ke langit biru
Cubalah melihat-lihat kuisan kakimu
Yang mungkin ada emas bercampur tanah dan batu
Ini bangsaku,
Yang berdiri mendongak dan merenung
Di atas tanah di bawah langit mendung.