BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Pages

Followers

Popular Posts

26 January 2011

Hitam Putih



Bila sahaja aku gemar hitam
Dia marah sekali
Katanya hitam kelam
Tanda berkabung sedih
Tidak bernyawa

Dia malah memilih putih
suci bersih
tiada corak
mulus benar

Hitam putih
Boleh jadi persamaan
Boleh jadi juga pertelingkahan

Beza membezakan
Sama persamaan
Hitam putih
Jadi pilihan

25 January 2011

Cerita Rahsia (Bahagian 3)

Hari itu hari paling gila. Hari dimana semua perkara tidak berada di tempatnya. Aku keluar awal. Meredakan sedikit keberangan dan kemarahan hati. Sarapan juga tidak sempat dijamah. Malas dan marah. Memang benar ini hari paling gila.

Kelmarin, temanku menelefon. Mengkhabarkan bahawa tulisanku hebat sekali. Malah, yakin benar dia berkata, "kau hebat sekali!". Aku malah ketawa besar walau hati berbunga-bunga.

Tetapi hari ini lain pula kisahnya. Itu yang aku katakan gila. Aku gila menulis tetapi tulisanku ke tempat terhormat (bakul sampah). Bila sahaja aku adukan ke temanku, dia malah menyindir. Katanya, "kau tidak cukup gila barangkali".

Semua indah di awalnya. Hingga sahaja aku terbaca ayat gila ini.

- Tulisannya teruk. Langsung tidak mencerminkan pemikiran remaja.

- Jika ini bakal penulis muda, lebih baik tidak perlu.

- Tulisannya memalukan sejarah sastera.

Maka, salahkah aku kalau menjadi gila hari ini? Kerana tulisan itu menyebabkan aku hilang pedoman tiba-tiba.

Bersambung...

24 January 2011

Mozek kehidupan

Hidup dan kehidupan...

Tentu sahaja penuh dengan pelbagai himpunan perasaan. Sejak akhir-akhir ini rasanya seperti ada sahaja perkara yang tidak kena. Mungkin dengan keadaan yang tidak begitu selesa, dengan timbunan pelbagai projek, kerja, dan presentation.

Kadang-kadang fokus terhadap kerja menurun. Ada lintasan perasaan, emosi yang tidak menentu. Tentu sahaja bukan berkaitan kerja. Peribadi, perasaan dan entah apa sahaja lagi. Hingga kadang-kadang jiwa jadi sakit, hati jadi pedih.

Terfikir untuk lari. Meninggalkan segala yang salah, tidak betul, tindakan bodoh. Refresh dan memulakan semuanya semula. Tapi, apa maknanya? Melarikan diri dari keadaan dan apabila kita sampai di penghujungnya, kita terfikir alangkah ruginya meninggalkan waktu tersebut.

Lalu, hanya pada teman, pada Allah, tempat mengadu perasaan. Bercerita perkara yang disukai, ketawa tetapi kadangkala menung juga yang merantai jiwa. Hingga kadang jadi lelah melawan rasa.

Hidup sebenarnya umpama mozek-mozek. Kita susun, kita atur hingga benar-benar cantik. Agar indah hidup dan menjadi pelengkap kehidupan. Andai kita tertinggal salah satu mozek, maka pincanglah lantai kehidupan. Kita sampai di penghujung tetapi kurang sempurna kejadiannya.

Maka, hidup perlu diteruskan. Menyusuri satu-satu liku dan jalan. Sakit, letih itu satu bab dari seluruh cerita hidup. Teruskan dengan tenang, gembira dan yakin cinta Allah pada kita.

23 January 2011

Beri Aku Matahari






Tolong beri aku matahari
biar dia silau
hingga buta
tak nampak

Tolong beri aku matahari
biar dia gembira
biar terang dunianya
yang gelita

Tolong beri aku matahari
untuk hangatkan
dingin hati
yang beku dengan benci

Tolong beri aku matahari
Tolong beri aku matahari

(Hati dalam hari kegelapan)



22 January 2011

Biarlah

Itu detik sial
detik paling gila
Kata Tuhan
dunia milikNya
manusia duduk beramal
buat yang baik sahaja

Bila manusia jadi tamak lupa
harta orang
terus buta
itu detik sial
bila manusia jadi haloba

Biarlah
kelak dia pikul dosa
mencari meraba
tidak jumpa
Biarlah
kelak dia jawab dengan mata
dengan telinga
dengan tangan keduanya

Biarlah
Biarlah
Itu detik sial
Detik paling gila

20 January 2011

Ini ceritanya

Ini cerita
penuh resah gelisah
tanpa kata

Ini cerita
penuh suka duka
tanpa bicara

Biarkan hati menjerit
memekik menyelar dusta
meraung menangisi berpisah

Ini cerita
cerita tentang mimpi
cinta dan cita-cita

19 January 2011

Dia yang di hadapanku

Hari ini
dia datang
serupa hari-hari kelmarin
berkemeja berseluar hitam
dengan bekal senyum
dan air ilmu
untuk dicurah ke mulut-mulut haus
kanak-kanak

Tidak pernah mengeluh
apalagi jemu bosan
mengatur langkah juang
di medan ilmu dan amal
agar kelak lahir pahlawan
sarjana bijak pandai

Hingga hari tuanya
dia tegar menganyam
jalur hidup bermakna
dengan warna jasa dan budinya

15 January 2011

Crazy @ Gila

The most important thing in my life. Do not being crazy for nothing reason because it will give you the big disaster.

Gila adalah perumpamaan mudah untuk melepaskan diri daripada orang lain. Tidak mahu mendengar kata-katanya. Maka, mudah sahaja. Katakan, gila la kau ni!

When you getting crazy about one thing in just a second, remember that your heart will be sick for another long time if you cannot get it. Pity huh?

Pernah berfikir bahawa gila merupakan salah satu penyakit akal dan hati disebabkan kecelaruan dan kelemahan dalam mengawal perasaan dan emosi.

Just spill out your crazy 'spirit' and being happy.

Maka, kehidupan akan menjadi lebih bermakna.

14 January 2011

Cerita Rahsia (Bahagian 2)

Bismillahirahmanirahim

Jika ini cerita rahsia, maka kini ianya bukan rahsia lagi.

Andainya cerita rahsia ini mengaibkan, wajarkah diceritakan semuanya? Walhal telah terbukti jelas Yang Maha Perkasa melarang hamba-Nya membuka aib yang tersembunyi. Biarkan sahaja sekadar diketahui Tuhan dan hamba.

Namun, jika cerita rahsia ini boleh sahaja menjadi kesedaran dan keinsafan? Maka, wajarlah ianya diberitahu dan dibongkarkan. Agar yang membaca beroleh manfaat daripadanya.

Saya bukanlah seorang yang pandai menulis, apatah lagi menyusun kata. Barangkali kata-kata saya seringkali mengundang rimas dan bosan. Namun, saya kembali kepada niat yang azali agar cerita rahsia ini diketahui semua dan diserap manfaatnya. Mana yang baik dijadikan teladan mengharungi hidup. mana yang kurang baik dijadikan sempadan agar terbatas laku.

Saya sekadar bermula dengan niat, dengan nama-Nya dan iringan doa. Semoga rahsia yang bukan lagi rahsia mendatangkan kebaikan. Saya tukangi rumah cerita ini sedikit demi sedikit agar menjadi kediaman hati tuan-tuan. Kediaman yang jamil wa kamil. Rumah menuju Tuhan.

Wallahualam.

Itu Manusia

Itu manusia
yang khalayak memanggilnya manusia
yang melihat dengan mata
dan berbicara dengan mulutnya

Itu manusia
yang hatinya kecil sahaja
tetapi besar mimpi dan cita

Itu manusia
yang nanti matinya dikambus tanah
yang hidupnya dulu bergelumang dosa

Maka,
manusia apakah itu?