BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Pages

Followers

Popular Posts

15 May 2013

Aku Menjadi Cikgu Kerana Permainan Psikologi

16 Mei 2013.

Hari Guru disambut khas buat cikgu-cikgu di seluruh negara. Oleh kerana aku merupakan seorang guru, maka tarikh ini turut menjadi kegembiraanku. Jika 24 tahun yang lalu, aku dilahirkan sebagai seorang doktor, mungkin aku tidak akan jadi cikgu sekarang. Sebenarnya, persoalan mengapa aku jadi cikgu belum terjawab walaupun sejak 4 tahun yang lalu aku mendaftarkan diri sebagai guru pelatih di maktab perguruan. Tidak lama lagi aku sah bergelar guru dengan menerima segulung ijazah tetapi aku masih tertanya-tanya mengapa aku menjadi guru atau lebih tepat mahu menjadi guru. Adakah mungkin keinginan aku untuk menjadi seorang cikgu adalah semata-mata kerana permainan psikologi mak aku? Kenapa aku kata begitu? Aku akan cerita.

Aku memulakan persekolahan peringkat rendah seperti rakan sebaya aku. Ketika itu, jika ditanya apakah cita-cita kami, jawapan yang diberikan adalah hampir sama. Ini juga salah satu kemusykilan aku. Mengapa ketika itu tidak ada seorang pun murid yang akan memberitahu cita-citanya yang luar biasa seperti mekanik kapal terbang, pengeksport tong gas dan sebagainya. Jawapan-jawapan popular berkenaan cita-cita seperti yang ramai sedia maklum adalah seperti doktor, jurutera, guru, pensyarah, arkitek. Ketika itu aku sedar. Sekiranya kita tidak memberikan jawapan seperti tertera ini, kita akan jadi makhluk asing yang dibenci oleh manusia. Kita akan keseorangan tanpa kawan dan tentunya diketawakan semasa sedang melantak bihun sup dan meneguk air sirap di kantin pada waktu rehat.

Aku ingat aku sering memberitahu guru bahawa cita-citaku adalah guru atau pensyarah (menjadi kebiasaan anak-anak kecil mempunyai lebih dari satu cita-cita). Sebenarnya ramai yang tidak tahu bahawa aku telah dipermainkan dengan kaedah psikologi mak aku di rumah. Mak aku adalah seorang suri rumah sepenuh masa. Beliau sering menceritakan kisah hidupnya kepadaku terutamanya waktu aku duduk melepak baring-baring dengan beliau di bawah kipas ruang tamu rumah kami. Mak aku bercita-cita menjadi guru tetapi disebabkan mak aku merupakan anak perempuan yang sulung, maka menjadi tanggungjawabnya untuk menjaga adik-adiknya yang masih kecil. Oleh kerana itu, mak aku terpaksa melupakan hasratnya untuk meneruskan pengajian di maktab. Takdir Allah, mak aku berkahwin dalam usia muda. Maka, hasrat dan cita-cita beliau terpaksa dimatikan terus. Beliau selalu berharap dan berdoa semoga anak-anak beliau meneruskan cita-citanya. Daripada keadaan sebegini, yang saban waktu aku mendengar keluhannya, lantas cita-cita menjadi guru itu semulajadi melekat dalam kotak pemikiranku tanpa aku mahu untuk menafikannya. Sedari itulah, aku pasakkan pekerjaaan GURU sebagai cita-citaku.



Begitu kuat acuan psikologi yang mak aku mainkan. Beliau tiada ijazah atau kepakaran tetapi beliau telah menanamkan cita-cita itu begitu kuat dalam hati dan fikiranku.

**************************

Aku tak pernah salahkan mak aku, malah aku bersyukur.

Mak aku tak punya apa-apa tetapi aku tahu dia punya doa boleh jadi senjata. Semangat dia menjadikan aku manusia bukannya makhluk asing dari lain dunia.

Selamat Hari Guru untuk aku. Dan Selamat Hari Ibu untuk mak aku.

13 May 2013

Kisah Adip dan Penebuk Lubangku Yang Terkorban

Sebenarnya kisah ini sudah berlalu beberapa minggu tetapi rasanya baru nak dikongsikan.

Seperti yang ramai tahu, aku mengajar sementara di sebuah Pusat Tuisyen sekitar tempat tinggal aku. Aku mengajar menengah rendah dan juga murid sekolah rendah. Pada setiap malam Rabu, aku diamanahkan untuk mengajar kelas Tahun 3 (Bahasa Melayu dan Sains). Sebagai seorang guru, tidak wajarlah aku melaksanakan tugasku acuh tak acuh. Oleh itu, aku telah bercadang menjalankan satu permainan untuk menceriakan lagi kelasku.

Malam itu, aku datang dengan perasaan yang gembira.

Eh, kejap. Aku kena cerita dulu siapa Adip ni. Adip ini salah seorang murid aku di kelas ini. Beliau memang terkenal dengan kelincahannya tidak kira anggota badan atau mulut semasa di dalam kelas. Aku telah lama memerhatikan sikap beliau dan masih berfikir-fikir kaedah paling sesuai untuk membuatkan kelincahan dan kebisingannya sedikit menurun.

Pada malam itu, aku mengajar seperti biasa. 20 minit berlalu, aku terasa ingin melaksanakan sedikit aktiviti permainan. Seperti biasa, budak-budak bersorak gembira. Aku mengajar mereka melakukan senaman Taichi mudah. Aku tidak sedar entah bila, Adip telah mengangkat bekas penselku yang tidak berzip ke udara. Maka, satu perkara yang aku tidak ingini telah terjadi.

Penebuk lubang kesayanganku jatuh berderai di atas lantai. Pecah. Seperti hati aku yang melihatnya. Satu kelas terdiam. Sepi. Macam malaikat maut yang datang. Mataku menjegil ke arah Adip sambil bercekak pinggang. Fikiranku kosong dan mulutku terkunci rapat. Murid-murid lain sibuk melihat penebuk lubangku. Aku menyuruh salah seorang murid membuang penebuk lubangku ke dalam tong sampah. Aku macam nak menangis tapi aku tahan. Kalau aku menangis, habislah kelas.

Mulut aku laju membebel. Jangan usik barang cikgu, hormat cikgu, jangan main-main dan macam-macam lagi bebelan yang aku tak sempat susun dalam fikiran. Adip diam macam orang bisu. Budak-budak lain sibuk menyalahkan dia. Aku teruskan pengajaran macam biasa sambil hati bengkak mengingatkan penebuk lubangku yang telah banyak berjasa sejak aku di maktab lagi. Yang paling menyedihkan hatiku, penebuk lubang itu jenama DOLPHIN.

Sehingga kelasku berakhir jam 10 malam. Adip diam tak bercakap walau sepatah. Aku rasa dia takut bercampur rasa bersalah dan sedikit malu. Aku biarkan sahaja.

Tetapi, dalam hati aku berharap sangat semoga apa yang berlaku ini ada hikmahnya. Mungkin cara ini dapat merubah perangai dan tingkah lakunya. Siapa tahu.

*********************************

Dalam perjalanan balik, aku terbayang-bayang muka Adip dan penebuk lubangku. Aku harap dengan terkorbannya penebuk lubangku, sikap Adip berubah. Aku tidak sabar menunggu hari Rabu seterusnya.

P/S : Aku takkan beli penebuk lubang jenama DOLPHIN lagi. Kalau pecah, sedihnya melampau.

10 May 2013

Si Anak Kecil Dan Permaisuri Hati


Untuk Ibu Seluruh Dunia,

Tuhan,
Kau datangkan aku melalui dia
Dengan cinta, kasih dan sayangnya
Tidak terbanding
Segunung emas atau permata

Tuhan,
Aku ini anak kecil
bertaraf hamba
Yang entah layak entah tidak untuk meminta
Ampunilah segala dosaku yang banyak tidak terkira
Sampaikanlah doa penuh cinta ini padanya

Entah nanti,
Di suatu waktu yang belum pasti
Aku pergi atau dia yang pergi
Sesiapa juga antara kami
Jangan putuskan ikatan ini
Pautkan hati kami
Erat dan terpatri
Aku dan dirinya
Si anak kecil dan Permaisuri Hati.

07 May 2013

Untuk Bangsaku


Mentari menyergahmu dengan teriknya
Kau masih mendongak menadah mata
Bulan mengejekmu dengan sinarnya
Kau malah memuji keindahannya
Bintang mencacimu dengan kerlipannya
Kau tersenyum menyembunyikan duka


Kau yang mendongakkan kepala
Kau yang mendongakkan kepala
Belajarlah menundukkan kepalamu


Setia memandang langit dunia
Hingga sakit belakang tengkuk lehermu
Kau tidak peduli
Asalkan matamu bisa melihat bintang, bulan dan mentari.

Badanmu itu bukanlah terawang-awang tiada nyawa.
Jasadmu berpijak di bumi nyata
Di atas tanah sekangkang kera
Yang bukan milik sesiapa.

Yang asyik memandang ke langit biru
Cubalah melihat-lihat kuisan kakimu
Yang mungkin ada emas bercampur tanah dan batu
Ini bangsaku,
Yang berdiri mendongak dan merenung
Di atas tanah di bawah langit mendung.