Untuk Ibu Seluruh Dunia,
Tuhan,
Kau datangkan aku melalui dia
Dengan cinta, kasih dan sayangnya
Tidak terbanding
Segunung emas atau permata
Tuhan,
Aku ini anak kecil
bertaraf hamba
Yang entah layak entah tidak untuk meminta
Ampunilah segala dosaku yang banyak tidak terkira
Sampaikanlah doa penuh cinta ini padanya
Entah nanti,
Di suatu waktu yang belum pasti
Aku pergi atau dia yang pergi
Sesiapa juga antara kami
Jangan putuskan ikatan ini
Pautkan hati kami
Erat dan terpatri
Aku dan dirinya
Si anak kecil dan Permaisuri Hati.
Popular Posts
-
Bismillahirahmanirahim. Sebelum apa-apa, jangan maki saya. Tajuk ini bukan bersifat menghina mana-mana pihak atau agama tetapi melibatkan ...
-
Itu manusia yang khalayak memanggilnya manusia yang melihat dengan mata dan berbicara dengan mulutnya Itu manusia yang hatinya kecil sahaja ...
-
1 Julai 2013. Tarikh lapor diri pertama di Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang. Tarikh yang tidak akan cikgu lupakan sampai bila-bila. Te...
-
Bismillahirahmanirahim.. Ketakutan. Fear. Takut yang membuatkan kita resah, gelisah, tidak tentu arah. Menaikkan bulu roma? Dan pelbagai ist...
-
Hari ini genap 3 hari di sekolah. Dan hari ini detik paling tidak gembira untuk kali pertamanya. Cikgu lewat ke LDP kerana terlupa. Alhamdul...
10 May 2013
Si Anak Kecil Dan Permaisuri Hati
Posted by Cikgu Wana at 8:06 AM 0 comments
07 May 2013
Untuk Bangsaku
Mentari menyergahmu dengan teriknya
Kau masih mendongak menadah mata
Bulan mengejekmu dengan sinarnya
Kau malah memuji keindahannya
Bintang mencacimu dengan kerlipannya
Kau tersenyum menyembunyikan duka
Kau yang mendongakkan kepala
Kau yang mendongakkan kepala
Belajarlah menundukkan kepalamu
Setia memandang langit dunia
Hingga sakit belakang tengkuk lehermu
Kau tidak peduli
Asalkan matamu bisa melihat bintang, bulan dan mentari.
Badanmu itu bukanlah terawang-awang tiada nyawa.
Jasadmu berpijak di bumi nyata
Di atas tanah sekangkang kera
Yang bukan milik sesiapa.
Yang asyik memandang ke langit biru
Cubalah melihat-lihat kuisan kakimu
Yang mungkin ada emas bercampur tanah dan batu
Ini bangsaku,
Yang berdiri mendongak dan merenung
Di atas tanah di bawah langit mendung.
Posted by Cikgu Wana at 1:38 AM 0 comments
02 March 2013
Hati
Kering..kurus
Sampai nampak segala tulang
inci rangka
ngeri, berdetap-detup bunyinya
Lain dengan yang di sebelahnya
Gemuk, montok, gebu
Penuh daging, pejal otot
Tulangnya seakan ghaib
Jasad...
Berbeza..
Tapi, ada suatu benda
Merah, kecil sahaja
Letaknya jauh di dalam
Jauh dari mata yang tajam
Itu namanya hati
Dia penguasa jasmani
Mempengaruhi akal
Mengerakkan amal
mana-mana yang baik,
apa-apa yang jahat,
Mula dari dia.
HATI.
Posted by Cikgu Wana at 10:41 AM 0 comments
16 January 2013
Dunia Kerja dan Hidup Semalam
Bismillahirahmanirahim.
Assalammualaikum.
Hampir dua bulan saya telah menamatkan pengajian di Institut Pendidikan Guru selama lima tahun enam bulan. Sepanjang tempoh yang dilalui, pelbagai topik dan bab pelajaran yang telah saya cakupi. Itu tidak termasuk lagi isi-isi pelajaran yang bukan formal. Saya belajar mengenal hidup. Mengenal sakitnya jatuh dan gembiranya menjalani hidup ini.
Lima tahun enam bulan. Satu jangka masa yang lama. Namun, kini ianya telah berakhir. Sedangkan saya merasakan baru semalam saya meninggalkan bumi Bangi dan sah tidak bergelar pelajar/pelatih guru lagi. Inilah kehidupan saya sekarang. Melepasi pintu dan bakal memasuki dunia kerja yang lain pula ceritanya.
![]() |
| Gambar terakhir kami sebelum tamat pengajian |
Sepanjang tempoh 'percutian' ini, saya mengambil keputusan untuk mengisi masa dengan berkhidmat sebagai guru tuisyen. Alhamdulillah, ini rezeki yang Allah berikan agar saya diberi ruang pengalaman untuk belajar serba sedikit dunia kerja saya kelak. Berhadapan semula dengan anak-anak didik membuatkan saya semakin yakin. Saya adalah Cikgu dan dunia saya adalah mengajar.
Selain itu, saya mengulit buku-buku kesayangan yang masih tertangguh. InsyaAllah, pada masa akan datang, saya tidak keberatan untuk berkongsi buku-buku bacaan saya kepada semua pembaca blog.
![]() |
| Buku terkini yang sedang ditelaah : 'Bersyukur Saat Diuji' |
Saya memohon semua pembaca yang setia mengikuti blog walaupun kadangkala saya hilang dan muncul tiba-tiba, akan terus mendoakan saya. Semoga Allah meredhai walau sekecil atau sebesar mana usaha kita semua.
Sampai jumpa lagi. Wassalam.
Posted by Cikgu Wana at 1:47 AM 0 comments
08 September 2012
Carpe Diem! dari Cikgu Hafiz
May peace be upon you
Posted by Cikgu Wana at 7:20 AM 2 comments
07 August 2012
Beri Aku Matahari
Tolong beri aku matahari
untuk beri dia silau
hingga buta
tak nampak
Tolong beri aku matahari
Untuk beri dia gembira
menerangi dunianya
yang gelita
Tolong beri aku matahari
Untuk aku dan dia
saling nampak muka
dan hati jiwa
Posted by Cikgu Wana at 9:27 PM 0 comments
HUJAN
Titisan bersama dingin
Itu hujan...
Rintik lebat mencium bumi
Awan sampaikan sayang
pada rumput terhampar
Biarkan...
hujan menyentuh hatimu
Biarkan ia terus mendingin
Lalu membekukan dukamu
Titis cinta dari langit
rahmat buat manusia
dari Tuhan Maha Cinta
yang tidak pernah kemarau
dan alam
akan terus menghijau
6.15 petang-2 Februari 2011-
Posted by Cikgu Wana at 9:26 PM 0 comments
06 August 2012
Kita pilih : Menang..Kalah
Menang, berjaya, ternama..
Kalah, mengalah, dihina..
Kita pilih
Untuk letak diri dimana
Antara dua..
Kita manusia
Mahu menang dari yang lainnya
Kerana ternyata yang menang akan ternama
dan yang kalah tercicir terhina
Bantu dirimu, hatimu, nuranimu
Beri kemenangan padanya
Menang yang bermakna
Menang kerana lawan turut berjaya
Bukan menang untuk kita
Tapi menang bagi semua
Di mana arah untuk kita tuju?
Gerak bersama
Tubuh, hati, fikiran
Kita ceraikan segala simpulan
Kita cantumkan jadi tali panjang
Yang tiada hujung
dan tak ketemu mula
Tiada akhir
abadi
sampai syurga
Disana..
Kita bersama
Persembahkan padaNya
Menangnya kita kerana Dia
Kerana piala ada padaNya
Syurga abadi, nikmat tiada tara...
Posted by Cikgu Wana at 7:32 AM 0 comments
01 August 2012
Ramadhan ini untuk siapa?
Bismillahirahmanirahim..
Segala puji bagi Allah, Tuhan Pemilik seluruh alam..yang memberikan kita nikmat Islam, iman, nyawa, roh dan jasad yang dipinjamkan. Dia berkuasa menghidupkan manusia dan mematikannya. Bersyukurlah sebagai hambaNya. Kita tidak pernah dilupakan walaupun sering lalai dan leka dalam kehidupan.
Alhamdulillah..Alhamdulillah..Alhamdulillah. Hari ini telah genap 12 hari kita menjalani ibadah puasa. Sudah masuk fasa kedua dalam bulan Ramadhan yang terlalu singkat jika kita mengejarnya tetapi akan dirasakan terlalu panjang jika kita tercicir meraih nikmatnya.
Saya teringat kata-kata saudara Aiman Azlan, seorang vlogger dan blogger bahawa sepanjang Ramadhan, syaitan dibelenggu dan apa yang kita perjuangkan adalah berlawan dengan nafsu tetapi terkadang manusia ini tidak terlepas dari melakukan dosa. Bagaimana ini boleh berlaku? Analogi yang diberikan begitu mudah. Andaikan air di dalam gelas. Sudu yang dikacau umpama hasutan syaitan. Apabila air dikacau dan sudu diangkat, apa yang terjadi?
Ya, kesan air masih berkocak. Begitu juga dengan syaitan. Syaitan berusaha selama 11 bulan mengacau dan mengocak hati kita sehingga apabila 1 bulan kita ditinggalkan, kesannya masih ada. Oleh itu, berusahalah dan jihad diri melawan nafsu dengan erti kata sebenar-benarnya. Jadikan syaitan musuh utama.
"Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta dia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu; maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya." (79:40-41)
Sepanjang Ramadhan, pelbagai tolakan dan tarikan dari kiri, kanan, depan, belakang. Kekuatan dalam hati, fikiran dan cinta kita kepadaNya dijadikan senjata untuk melawan musuh dalaman kita yakni Nafsu. Misalan paling mudah, Ramadhan ini biasanya begitu mewah dengan makanan semasa berbuka. Perkara ini dilihat sebagai perkara yang kecil sahaja tetapi akan memberi kesan yang besar sekiraya tidak diubah. Ramadhan ini kita mewahkanlah dengan ibadah bukan bermewah-mewah dengan juadah ketika berbuka.
Jadikanlah Ramadhan ini untuk kita. Hadiah paling berharga yang Allah berikan sebagai tanda cinta. Kejarlah ia dan jadikan diri kita Juara Ramadhan..InshaALLAH..Salam Ramadhan Kareem.
Posted by Cikgu Wana at 9:04 AM 0 comments
10 May 2012
Tajamkan senjata sekarang! Bertemu di medan peperiksaan..
Bismillahirahmanirahim
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Lama sungguh blog ini bersawang dengan segala sawang lelabah dan rerama. Maaf kepada yang biasa mengunjungi tetapi hanya dihadapkan dengan post yang sama. Insya Allah, sekiranya Allah memberikan peluang untuk kembali menaip, maka jemari ini akan aktif semula dan semoga terus menerus.
Mata berkelip sesaat dan sesaat itulah saat waktu jam berdetik dan terus berjalan. Hampir menamatkan tempoh pengajian selama 5 Tahun 6 Bulan di gedung menimba ilmu keguruan. Sudah selesai menempuh ketiga-tiga praktikum yang menguji kekebalan fizikal dan minda. Kadangkala hampir lumpuh. Mujur ada sahabat yang sentiasa memimpin dan ada Dia yang sentiasa memegang hati agar tidak mudah putus asa.
Peperiksaan mula menjenguk mukanya dan semuanya mula bergelumang dengan segala nota dan buku. Walaupun kadangkala tertekan melihat barisan ayat dan huruf yang terbang berpusing-pusing mengelilingi kepala, tapi terbuai juga dengan tawa dan usikan sahabat-sahabat yang menceriakan suasana dengan lawak-lawak antarabangsa. Alhamdulillah.
Untuk teman, sahabat, kawan, musuh yang akan menghadapi ujian dunia, tajamkan pena atau pastikan padat dakwatnya kerana itu senjata kita. Pastikan juga otak yang tepu tak beku dan mudah sahaja cair di medan peperangan nanti. Selamat Berusaha dan Bertawakal kepada Allah.
::Semoga kita terlepas juga ujian di sana::
Posted by Cikgu Wana at 9:04 AM 0 comments














