May peace be upon you
Popular Posts
-
Bismillahirahmanirahim. Sebelum apa-apa, jangan maki saya. Tajuk ini bukan bersifat menghina mana-mana pihak atau agama tetapi melibatkan ...
-
Itu manusia yang khalayak memanggilnya manusia yang melihat dengan mata dan berbicara dengan mulutnya Itu manusia yang hatinya kecil sahaja ...
-
1 Julai 2013. Tarikh lapor diri pertama di Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang. Tarikh yang tidak akan cikgu lupakan sampai bila-bila. Te...
-
Bismillahirahmanirahim.. Ketakutan. Fear. Takut yang membuatkan kita resah, gelisah, tidak tentu arah. Menaikkan bulu roma? Dan pelbagai ist...
-
Hari ini genap 3 hari di sekolah. Dan hari ini detik paling tidak gembira untuk kali pertamanya. Cikgu lewat ke LDP kerana terlupa. Alhamdul...
08 September 2012
Carpe Diem! dari Cikgu Hafiz
Posted by Cikgu Wana at 7:20 AM 2 comments
07 August 2012
Beri Aku Matahari
Tolong beri aku matahari
untuk beri dia silau
hingga buta
tak nampak
Tolong beri aku matahari
Untuk beri dia gembira
menerangi dunianya
yang gelita
Tolong beri aku matahari
Untuk aku dan dia
saling nampak muka
dan hati jiwa
Posted by Cikgu Wana at 9:27 PM 0 comments
HUJAN
Titisan bersama dingin
Itu hujan...
Rintik lebat mencium bumi
Awan sampaikan sayang
pada rumput terhampar
Biarkan...
hujan menyentuh hatimu
Biarkan ia terus mendingin
Lalu membekukan dukamu
Titis cinta dari langit
rahmat buat manusia
dari Tuhan Maha Cinta
yang tidak pernah kemarau
dan alam
akan terus menghijau
6.15 petang-2 Februari 2011-
Posted by Cikgu Wana at 9:26 PM 0 comments
06 August 2012
Kita pilih : Menang..Kalah
Menang, berjaya, ternama..
Kalah, mengalah, dihina..
Kita pilih
Untuk letak diri dimana
Antara dua..
Kita manusia
Mahu menang dari yang lainnya
Kerana ternyata yang menang akan ternama
dan yang kalah tercicir terhina
Bantu dirimu, hatimu, nuranimu
Beri kemenangan padanya
Menang yang bermakna
Menang kerana lawan turut berjaya
Bukan menang untuk kita
Tapi menang bagi semua
Di mana arah untuk kita tuju?
Gerak bersama
Tubuh, hati, fikiran
Kita ceraikan segala simpulan
Kita cantumkan jadi tali panjang
Yang tiada hujung
dan tak ketemu mula
Tiada akhir
abadi
sampai syurga
Disana..
Kita bersama
Persembahkan padaNya
Menangnya kita kerana Dia
Kerana piala ada padaNya
Syurga abadi, nikmat tiada tara...
Posted by Cikgu Wana at 7:32 AM 0 comments
01 August 2012
Ramadhan ini untuk siapa?
Bismillahirahmanirahim..
Segala puji bagi Allah, Tuhan Pemilik seluruh alam..yang memberikan kita nikmat Islam, iman, nyawa, roh dan jasad yang dipinjamkan. Dia berkuasa menghidupkan manusia dan mematikannya. Bersyukurlah sebagai hambaNya. Kita tidak pernah dilupakan walaupun sering lalai dan leka dalam kehidupan.
Alhamdulillah..Alhamdulillah..Alhamdulillah. Hari ini telah genap 12 hari kita menjalani ibadah puasa. Sudah masuk fasa kedua dalam bulan Ramadhan yang terlalu singkat jika kita mengejarnya tetapi akan dirasakan terlalu panjang jika kita tercicir meraih nikmatnya.
Saya teringat kata-kata saudara Aiman Azlan, seorang vlogger dan blogger bahawa sepanjang Ramadhan, syaitan dibelenggu dan apa yang kita perjuangkan adalah berlawan dengan nafsu tetapi terkadang manusia ini tidak terlepas dari melakukan dosa. Bagaimana ini boleh berlaku? Analogi yang diberikan begitu mudah. Andaikan air di dalam gelas. Sudu yang dikacau umpama hasutan syaitan. Apabila air dikacau dan sudu diangkat, apa yang terjadi?
Ya, kesan air masih berkocak. Begitu juga dengan syaitan. Syaitan berusaha selama 11 bulan mengacau dan mengocak hati kita sehingga apabila 1 bulan kita ditinggalkan, kesannya masih ada. Oleh itu, berusahalah dan jihad diri melawan nafsu dengan erti kata sebenar-benarnya. Jadikan syaitan musuh utama.
"Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta dia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu; maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya." (79:40-41)
Sepanjang Ramadhan, pelbagai tolakan dan tarikan dari kiri, kanan, depan, belakang. Kekuatan dalam hati, fikiran dan cinta kita kepadaNya dijadikan senjata untuk melawan musuh dalaman kita yakni Nafsu. Misalan paling mudah, Ramadhan ini biasanya begitu mewah dengan makanan semasa berbuka. Perkara ini dilihat sebagai perkara yang kecil sahaja tetapi akan memberi kesan yang besar sekiraya tidak diubah. Ramadhan ini kita mewahkanlah dengan ibadah bukan bermewah-mewah dengan juadah ketika berbuka.
Jadikanlah Ramadhan ini untuk kita. Hadiah paling berharga yang Allah berikan sebagai tanda cinta. Kejarlah ia dan jadikan diri kita Juara Ramadhan..InshaALLAH..Salam Ramadhan Kareem.
Posted by Cikgu Wana at 9:04 AM 0 comments
10 May 2012
Tajamkan senjata sekarang! Bertemu di medan peperiksaan..
Bismillahirahmanirahim
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Lama sungguh blog ini bersawang dengan segala sawang lelabah dan rerama. Maaf kepada yang biasa mengunjungi tetapi hanya dihadapkan dengan post yang sama. Insya Allah, sekiranya Allah memberikan peluang untuk kembali menaip, maka jemari ini akan aktif semula dan semoga terus menerus.
Mata berkelip sesaat dan sesaat itulah saat waktu jam berdetik dan terus berjalan. Hampir menamatkan tempoh pengajian selama 5 Tahun 6 Bulan di gedung menimba ilmu keguruan. Sudah selesai menempuh ketiga-tiga praktikum yang menguji kekebalan fizikal dan minda. Kadangkala hampir lumpuh. Mujur ada sahabat yang sentiasa memimpin dan ada Dia yang sentiasa memegang hati agar tidak mudah putus asa.
Peperiksaan mula menjenguk mukanya dan semuanya mula bergelumang dengan segala nota dan buku. Walaupun kadangkala tertekan melihat barisan ayat dan huruf yang terbang berpusing-pusing mengelilingi kepala, tapi terbuai juga dengan tawa dan usikan sahabat-sahabat yang menceriakan suasana dengan lawak-lawak antarabangsa. Alhamdulillah.
Untuk teman, sahabat, kawan, musuh yang akan menghadapi ujian dunia, tajamkan pena atau pastikan padat dakwatnya kerana itu senjata kita. Pastikan juga otak yang tepu tak beku dan mudah sahaja cair di medan peperangan nanti. Selamat Berusaha dan Bertawakal kepada Allah.
::Semoga kita terlepas juga ujian di sana::
Posted by Cikgu Wana at 9:04 AM 0 comments
19 November 2011
Sebelum Senja (Bab 1)
Aku merasakan Tuhan tidak pernah berhenti menguji. Bahkan, kurasakan seolah-oleh Tuhan sudah tidak sayang lagi kepadaku dan kehidupan dunia ini tiada erti lagi untukku. Tetapi, aku masih ingat pesan bapak, Tuhan bukan tidak adil. Tuhan bukan tidak sayang. Tuhan mahu hamba-Nya tidak lupa dan sentiasa mencari-Nya. Dahulu, aku menganggap kata-kata bapak hanya sisipan merawat hati tetapi kini aku sedar, kata-kata bapak itu bukan sekadar kata-kata.
Aku selalu terpesona melihat alam. Padaku alam mempunyai keunikan dan keistimewaan Apabila alam diamati dan hujan dihayati, aku seolah-olah merasakan itu adalah bicara Tuhan. Kadangkala Tuhan marah dan kadangkala Tuhan menyokong. Hujan selalu membisikkan suara halus yang menenangkan jiwa dan matahari yang muncul selepasnya biasanya kelihatan seperti anak kecil yang tersenyum. Mulus, tenang dan tiada dosa. Aku akan mengintai matahari daripada sebalik jendela bilik. Tidak lama, akan kudengari deringan loceng basikal Ali. Kami akan ke Pantai Kemang. Mencecahkan kaki di hujung air, melompat saat ombak datang dan berlari meninggalkan kesan tapak kaki di pasir. Kami akan terus berlari hingga hujung dan apabila kami menoleh ke belakang semula, jejak kami sudah tiada dan Ali akan berkata, itulah masa lalu kita, Karim. Masa sedih. Biarlah air laut menghapuskannya. Kita akan terus berlari. Berlari menggapai mimpi. Waktu itu aku seperti memandang bidadari di sebalik besarnya hati Ali.
Aku selalu berfikir bahawa Ali dan alam memang tiada bezanya. Bukanlah kerana namanya yang bermula dengan awalan dua huruf yang sama tetapi kerana sifat Ali itu sama sahaja seperti kegilaanku terhadap alam. Alam selalu memberiku ketenangan dan Ali selalu memdatangkan kegembiraan. Mungkin juga Ali bidadari dan alam ini syurga. Ah, alangkah bahagianya. Apabila kami keluar menyusur pantai, dia akan sentiasa mengajakku berlari. Jika kegilaanku terhadap alam, Ali pula gila berlari.
Kami bersekolah di SMK Kuala Kemang. Satu-satunya sekolah menengah yang paling dekat dengan Kampung Kurik. Kami berjalan kakil setiap pagi melalui jalan kampung dan melintasi Pekan Kuala Kemang sebelum tiba di sekolah. Kebanyakan murid di sekolah ini adalah daripada keluarga nelayan. Begitu juga Ali. Cuma ayahku mengambil upah menoreh getah.
“Murid-murid, kamu semua akan mengambil peperiksaan SPM pada tahun hadapan. Oleh itu, kamu perlu berpegang teguh kepada impian dan cita-cita kamu. Baik, sebelum kita mulakan pelajaran, cikgu ingin bertanya soalan.” Mata Cikgu Hafizah, guru kecil molek yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu itu memandang ke seluruh kelas. “Baik. Cikgu mahu kamu beritahu tentang cita-cita kamu. Kita mulakan dengan Ali.” Ali bangun perlahan-lahan. Aku tahu dia pasti mengatakan cita-citanya mahu menjadi jurutera. Mengapa aku berkata begitu? Nanti aku ceritakan. Ada kisahnya mengapa dia mahu benar menjadi jurutera. “Karim, beritahu kelas apa cita-cita kamu?” Suara Cikgu Hafizah agak kuat. “Saya mahu jadi guru.”, jawabku tegas. Aku duduk semula sambil memandang Ali. Ada senyum makna di bibirnya. Saat itu aku terfikir, mengapa Ali tidak mahu menjadi pelari? Bukankah dia gila berlari.
Sebelum Senja (Promo) >>>>> Sebelum Senja (Bab 2)
Posted by Cikgu Wana at 9:30 AM 0 comments
Labels: Sebelum Senja
02 August 2011
Percaya Untuk Sekali Ini
Jangan cari aku
Aku mahu lari
Menjulang maruah
Dan hak
Berilah fahammu
Juga ikhlasmu
Tiada apa untukmu
Sekadar cinta Tuhan
Aku kirimkan
Posted by Cikgu Wana at 11:58 PM 0 comments
26 July 2011
Tekanan Yang Menekan
Bismillahirahmanirahim..
Sebulan hampir berakhir. Minggu-minggu praktikum yang mengerah segala neuron minda dan tenaga fizikal hingga kadangkala aku hilang segala pertimbangan dan semangat. Mujurlah aku masih punya naluri berTuhan.
Teman-teman juga 'hilang' dalam dunia masing-masing. Mungkin 'bertemu kembali' saat hari-hari yang tidak dipenuhi jadual waktu mengajar. Mudah-mudahan semuanya sihat. Walaupun sunyi dan senyap menyelubungi saban hari, tetapi ada juga terselit tawa dan senda sesaat cuma. Itu sahaja yang menjadi ubatnya.
Sebulan lagi sebelum berakhir praktikum dan juga berakhirnya Ramadhan. Dan sekali lagi diuji apabila mengajar dalam bulan Ramadhan. Moga Tuhan sentiasa memberi kekuatan.
Salam Ramadhan dan terus kuat!
Posted by Cikgu Wana at 11:17 AM 0 comments














